Monday, September 26, 2022

200 peserta berentap dalam Festival Permotoran Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Lebih kurang 200 peserta bakal berentap dalam Festival Sukan Permotoran Sarawak (SMF) yang bakal diadakan di Litar Latihan Sukan Permotoran Petra Jaya, Stadium Sarawak pada hujung minggu ini.

Festival terbabit akhirnya bakal berlangsung selepas dua tahun dibatalkan akibat penularan wabak Covid-19.

Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Junaidi Reduan berkata, amat berbesar hati apabila acara terbabit diadakan di Kuching.

“Walau bagaimanapun, perkara paling penting yang harus diketengahkan ialah memastikan semua kemudahan selamat digunakan oleh peserta dan juga penonton.

“Kita juga perlu memastikan kebersihan kawasan selepas mengadakan aktiviti seperti ini kerana kebersihan bandar adalah tanggungjawab kita semua,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Pejabat Datuk Bandar, Aras 4, Bangunan DBKU, semalam.

Sementara itu, Setiausaha Petra Jaya Motorsport (PJM), Sylvester Reggie berkata, tujuan utama melakukan festival terbabit adalah untuk mencungkil bakat baru golongan belia yang berminat dalam sukan lasak terbabit.

“Selain itu, kita juga ingin memperluaskan rangkaian dan berkongsi ilmu pengetahuan supaya dapat menyumbang kepada piawaian yang lebih tinggi dalam senario automatif di Sarawak

“Kita mempunyai lebih 30 buah gerai pameran produk dan perkhidmatan automatif dari Kuala Lumpur, Johor, Sabah dan Sarawak dalam festival itu dan telah dirasmikan oleh Menteri Belia, Sukan, dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah pada 12 September lepas,” jelasnya.

Menurut Pengerusi SMF Andy Chong, semasa festival terbabit akan ada pertunjukan automotif, rancangan radio, Hari Terbuka Trek Latihan PJM, Go Kart, pertunjukan motosikal, Drift, gimkhana, pertunjukan serangan masa dan pertandingan foto serta videografi

“Kita menjangkakan seramai 3,000 orang akan datang ke festival ini. bagi yuran kemasukan ialah RM10.00 seorang, manakala kanak-kanak bawah umur 12 tahun adalah percuma,” katanya.

Untuk maklumat dan pertanyaan lanjut, sila layari Facebook Petra Jaya Motorsport Club.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru