Monday, September 26, 2022

Wanita dakwa suami jual buah pinggangnya tanpa izin

Secara Rawak

KODAMETA: Seorang wanita membuat aduan polis terhadap suaminya dan kakak iparnya kerana menjual buah pinggangnya tanpa izinnya.

Wanita terbabit, Ranjita Kundu, mendakwa suaminya mencuri dan menjual salah satu buah pinggangnya empat tahun lalu.

Perbuatan itu terbongkar selepas mangsa berjumpa doktor kerana sakit perut dan diberitahu dia hanya mempunyai satu buah pinggang.

Menurut Ranjita, pada 2018 dengan alasan membawanya ke hospital menjalani pembedahan membuang batu karang, suaminya mengatur agar salah satu buah pinggangnya dikeluarkan supaya dia boleh menjualnya di pasaran gelap.

“Pada 2018, suami saya memasukkan saya ke hospital swasta di Bhubaneswar selepas saya mengalami batu karang dan di sana dia menjual salah satu buah pinggang tanpa pengetahuan dan persetujuan saya,” kata wanita itu kepada wartawan India.

“Saya tidak menyedari keseluruhan kejadian itu kerana saya diberi ubat bius. Suami saya menjual buah pinggang kepada lelaki bernama Asim Haldar.”

Ranjita mendakwa suaminya, dikenali sebagai Prasant Kundu, warga Bangladesh tinggal di kampungnya sebagai pendatang tanpa izin.

Mereka berkahwin 12 tahun dan dikurniakan dua anak.

Kira-kira lapan bulan yang lalu, Kundu meninggalkan keluarganya dan melarikan diri dengan wanita lain.

Ranjita pula dihalau keluar dari rumah keluarga dan kini tinggal bersama-sama ibu bapanya.

Kalinga TV melaporkan sekitar masa kejadian yang didakwa berlaku, pasangan itu bertengkar isu berkaitan mas kahwin, dan suami memutuskan untuk mencuri dan menjual buah pinggang Ranjita bagi mendapatkan wang atau mas kahwin yang masih belum dibayar keluarga Ranjita.

Ekoran aduan itu polis menahan Kundu dan kakak iparnya untuk siasatan lanjut.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru