Monday, September 26, 2022

Penerjun Amerika rancakkan saingan

Secara Rawak

SIBU: Seramai 33 penerjun termasuk dari Singapura, Amerika Syarikat dan Australia akan mengambil bahagian dalam Sibu International Base Jump (SIBJ) 2022 yang dijadual berlangsung di Wisma Sanyan di sini mulai 14 hingga 17 September ini.

Acara ikonik itu yang memasuki edisi ke-12 tahun ini dihentikan selama dua tahun disebabkan pandemik Covid-19.

Residen Bahagian Sibu Wong Hee Sieng berkata, daripada jumlah penerjun itu, seramai 29 orang dari Malaysia, dua dari Australia dan masing-masing seorang dari Amerika Syarikat dan Singapura.

Jelas beliau lagi, acara tahunan itu pada edisi kali ini dijangka dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah pada jam 8.00 malam, 16 September ini.

“Majlis penutup akan berlangsung pada hari berikutnya di Dataran Cafe, Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa II dan akan disempurnakan oleh saya sendiri pada jam 7.30 malam, 17 September,” katanya.

Wong yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengelola SIBJ 2022 berkata, selain acara terjun dari bangunan tertinggi di Sarawak itu (Wisma Sanyan), peserta juga akan dibawa menaiki Sibu River Cruiser untuk menelusuri dan menikmati pemandangan indah Batang Rajang.

Selain mempromosikan Sibu sebagai salah satu lokasi sukan lasak, tambahnya, acara itu dapat memeriahkan lagi sektor pelancongan serta memperkenal Sibu sebagai bandar yang penuh dengan tarikan budaya, adat resam, makanan dan tempat bersejarahnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru