Monday, September 26, 2022

Suspek mati mengejut di dalam lokap

Secara Rawak

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seorang suspek lelaki warga tempatan mati mengejut dalam tahanan di Lokap Berpusat Shah Alam semalam.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM ACP Skandaguru Anandan berkata lelaki berusia 33 tahun itu merupakan suspek yang ditahan sejak 29 Julai lepas.

“Dia ditahan sementara siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.

“Pada 4.59 pagi tadi (semalam), suspek berkenaan ditemukan terbaring dan tidak sedarkan diri. Pihak hospital telah dihubungi bagi tujuan rawatan awal dan kira-kira 5.20 pagi, pegawai perubatan dari Hospital Shah Alam telah mengesahkan kematiannya,” menurut beliau dalam kenyataan malam tadi seperti dipetik Bernama.

Skandaguru berkata suspek telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk bedah siasat yang dijadualkan esok.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan menjalankan siasatan berkaitan kes tersebut,” katanya. 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru