Sunday, October 2, 2022

Menentukan tarikh pilihan raya umum

Secara Rawak

Negara kita telah mengadakan PRU sebanyak 14 kali. PRU pertama Persekutuan Tanah Melayu berlangsung pada 1959. Sejak itu hingga 2018 lalu, biasanya PRU tidak diadakan pada tarikh tempoh matang tercapai.

Maksudnya, ia diadakan lebih awal. Demikian juga dengan PRN Sarawak dan Sabah, ada ketikanya sehingga setahun lebih awal.

Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor telah mengadakan PRN masing-masing, dan tempoh berakhir penggal bagi empat negeri itu adalah tidak sama dengan Persekutuan. Selain negeri terbabit, dijangka enam lagi negeri yang kini ditawan pembangkang tidak akan mengadakan pilihan raya mengikut PRU di peringkat nasional. Pada masa depan, kita boleh menjangkakan lebih banyak negeri akan mengadakan PRN pada tarikh yang berlainan daripada PRU.

Bilangan kerusi Parlimen ketika ini ialah 222 manakala jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri pula ialah 600.

Justeru, kini ada saranan agar tarikh pilihan raya di negara ini ditetapkan.

Maksudnya, tempoh pembubaran Parlimen tidak berubah, sebaliknya dikekalkan sehingga tempoh penggal tamat atau matang iaitu selepas lima tahun.

Hal ini bagi memastikan PRU mempunyai satu tarikh tetap. Amalan sedemikian bukanlah baharu.

Sebenarnya negara seperti Britain, Kanada, Amerika Syarikat, Norway, Hong Kong, Rusia, Sweden, United kingdom, malah Indonesia telah mengamalkannya.

Adakah kita wajar mencontohi negara terbabit? Ya, bagaimana kalau tarikh PRU ditetapkan, tetapi tarikh PRN tetap mengikut amalan sekarang? Apakah kelebihan dan keburukannya jika tarikh berkenaan ditetapkan?

Dengan tarikh tetap misalnya pada Sabtu terakhir bulan tertentu untuk melangsungkan PRU, maka ini bermakna tidak berlaku lagi sebarang teka-teki mengenai tarikh berkenaan. Lima tahun bermaksud lima tahun, dan tidak boleh diawalkan kecuali dalam keadaan tertentu.

Pertama, jika Perdana Menteri hilang kepercayaan, dan kedua jika dua per tiga daripada ahli parlimen mahu mengadakan pilihan raya lebih awal.

Ketika ini tarikh pilihan raya menjadi permainan teka-teki dengan penganalisis dan pemerhati politik menjadi tukang ramal.

Hal ini menimbulkan ketidakpastian bagi banyak pihak sehingga sukar untuk merancang sesuatu. Ini termasuk pihak polis, guru, wartawan, malah sesiapa sahaja untuk bercuti, termasuk ke luar negara.

Dengan tarikh atau masa tertentu sudah ditetapkan, ini akan mengelakkan negara daripada mengadakan pilihan raya terlalu kerap.

Perkara ini pasti baik untuk kestabilan politik negara. Politik yang stabil baik dari segi imej dan reputasi negara. Pelabur pasti lebih tertarik untuk melabur di negara yang politiknya stabil berbanding dengan negara yang tidak menentu politiknya. Pilihan raya yang terlalu kerap menggambarkan krisis atau ada yang tidak kena dengan politik di negara terbabit.

Jika negara terlalu banyak berpolitik, sudah pasti banyak masa dibuang untuk tujuan tersebut. Pemimpin politik yang hendak mengekalkan kuasa dan mendapatkan kuasa akan memberi banyak tumpuan dan masa untuk berkempen, dan bukannya untuk merancang dan melaksanakan dasar dan inisiatif untuk kesejahteraan dan kebaikan rakyat dan negara.

Secara tidak langsung, perkara ini tentu dapat menjimatkan kos pada jangka panjang. Ketika ini, perlu diakui bahawa tarikh menentukan cadangan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dilakukan oleh pemimpin utama negara atau negeri.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan sekarang, kuasa untuk memohon untuk pembubaran awal terletak di tangan Perdana Menteri. Tetapi kuasa untuk memberikan perkenan itu terletak kepada Yang Di-Pertuan Agong. Ini menyebabkan keadaan berlaku seperti sekarang apabila tarikh pilihan raya umum tidak dapat ditetapkan dalam satu lingkungan yang lebih singkat.

Sudah tentu hal ini membabitkan SPR untuk menentukan segala proses berkaitan pilihan raya berjalan lancar, termasuk hari penamaan calon, pengundian awal dan hari mengundi. Suatu ketika dahulu ada pilihan raya negeri diadakan sehingga dua bulan, dan disebabkan sistem pengangkutan yang baik dan perkembangan teknologi, akhirnya keputusannya dapat diketahui pada malam yang sama.

Tarikh pilihan raya yang ditetapkan baik untuk demokrasi negara. Tentu jika perkara ini dapat direalisasikan, ia akan memberi nafas segar kepada demokrasi dan amalan politik negara menuju politik matang.

Pemimpin politik tidak akan lagi dapat memanipulasikannya untuk tujuan politik. Ketika ini, ia menjadi prerogatif pemimpin utama negara atau negeri untuk menentukannya.
Justeru, ia akhirnya akan membawa kebaikan untuk urus tadbir dan pentadbiran negara. Tempoh penggal yang penuh tanpa diganggu oleh persediaan pilihan raya lebih awal akan memungkinkan jemaah menteri memberi tumpuan kepada perancangan dan pelaksanaan segala dasar yang telah dipersetujui.

Namun demikian, menetapkan tarikh pilihan raya sedemikian bukannya tanpa keburukan atau kekurangan. Jika ia diamalkkan ia boleh menjadi kurang demokratik kerana pengundi terpaksa menunggu masa yang lebih lama sebelum mereka dapat menzahirkan rasa tidak puas hati mereka melalui peti undi. Tempoh tetap juga menyebabkan kerajaan yang tidak berkesan terus memegang kuasa, dan ini merugikan rakyat.

Untuk memungkinkan impian ini tercapai, kita perlu memulakan satu konvensyen Perlembagaan yang baharu. Maksudnya kita tidak perlu membuat pindaan Perlembagaan, tetapi bermula dengan satu amalan baharu iaitu kita biarkan Parlimen sekarang berlangsung sampai ke hujung penggalnya iaitu pada 15 Julai akan datang.

Kelihatannya impian ini tidak mungkin berlaku di sebalik tuntutan pemimpin Umno supaya PRU-15 diadakan pada tahun ini. Jadi, harapan kita untuk melihat tarikh pilihan raya ditetapkan tidak akan dapat direalisasikan dalam waktu terdekat.

Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru