Sunday, October 2, 2022

Pertanian moden akan dibangun di Sri Aman: Abang Johari

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan negeri dan persekutuan akan bekerjasama untuk membangunkan pertanian moden di kawasan Sri Aman yang dikenal pasti sebagai kawasan pengeluaran padi negara.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun openg berkata, usaha itu harus dipergiat memandangkan projek pembinaan Jambatan Batang Lupar 2 yang sedang dilaksana bakal membuka kawasan berkenaan terutamanya dalam sektor pertanian.

Menurutnya, jambatan itu kelak bakal menyambungkan Sri Aman terus ke jalan utama kedua Sarawak hingga ke Jalan Pesisir dan seterusnya ke Betong.

“Kita akan membangunkan infrastruktur di kawasan ini nanti yang menelan belanja agak besar, saya telah berunding dengan kerajaan persekutuan untuk membangunkan kawasan terbabit disertai dengan dana kerajaan negeri.

“Ia adalah pembangunan usahasama kerajaan negeri dan persekutuan dan bagi Sarawak, Dr Rundi (Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom) akan berunding dengan pihak persekutuan iaitu Dr Ronald (Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee),” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Benak Sri Aman 2022 di Astaka Regata Benak di Sri Aman, hari ini.

Hadir sama majlis dua Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat II (Pembangunan Bakat) yang juga ADUN Simanggang Datuk Francis Harden Hollis dan Timbalan Residen Bahagian Sri Aman merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pesta Benak Elvis Didit.

Abang Johari berkata, usaha membangunkan pertanian moden di kawasan itu merupakan pendekatan selaras dengan nama baharu Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah yang akan diumumkan nanti, khusus untuk industri makanan.

Beliau berharap nama baharu kementerian itu nanti akan mengubah nasib para petani ke arah yang lebih baik dan bukannya digambarkan sebagai golongan susah.

Jelasnya, ini kerana sektor pertanian amat penting tetapi perlu menggunakan kaedah baharu seperti teknologi dan digital dalam pengeluaran makanan.

“Kita ada gambaran yang cerah dari sudut industri manakanan. Maka, saya dan Dr Rundi serta rakan lain mempunyai pendekatan baharu yang akan diumumkan kelak, sebaik sahaja infrastruktur siap dibina untuk kita membangunkan sektor pertanian,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pembangunan Sri Aman, Abang Johari berkata, kerajaan negeri akan terus menaik taraf kemudahan Tebingan Sri Aman agar memberi keselesaan, selain mengubah landskap di sekitar kawasan terbabit.

Katanya, Tebingan Sri Aman yang sedia ada telah siap dibina dan memberi keselesaan kepada penduduknya, terutama semasa Pesta Benak.

“Namun, wakil rakyat anda di sini telah meminta kepada saya untuk menambahkan lagi kemudahan sehingga ke hulu sungai ini yang akan menempatkan kemudahan bagi mengangkat ikan.

“Dengan itu, kita akan menempatkannya di satu sudut spesifik yang tidak mengganggu tebingan yang ada pada hari ini,” jelasnya.

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru