Monday, September 26, 2022

Harga sayur naik mendadak

Secara Rawak

KUCHING: Harga beberapa sayur dikatakan meningkat ketara berbanding dahulu. Tinjauan di Pasar Komuniti Stutong mendapati harga sayur seperti sawi mengalami peningkatan harga yang ketara.

Peniaga mendakwa harga sayur terpaksa dinaikkan kerana bekalan yang diterima dibeli pada harga yang tinggi. Peniaga, Chiew Siat fong, 54, berkata, kenaikan harga sayur turut menjejaskan ekonomi peniaga serta pelanggan.

“Sawi merupakan sayur yang paling ketara sekali naik, dahulu sawi dijual kira-kira RM8 hingga RM10 sekilogram, tetapi sekarang saya terpaksa jual RM15 sekilogram.

“Selain itu, harga sawi sekarang naik disebabkan bekalan susah untuk didapati terutamanya pada musim tengkujuh sekarang.

“Jika kami (peniaga) tidak menaikkan harga, untung yang diterima tidak setimpal dengan modal yang dikeluarkan. Isu kenaikan harga ini bukan sahaja menjejaskan ekonomi pelanggan, malah kami juga mangsa,” katanya.

Sementara itu, Roslin Ligin, 56, berkata, dia hanya mendapat keuntungan RM1 hasil jualan sayur-sayuran kampung yang diterima olehnya daripada kawan dan saudara mara.

“Harga cangkuk manis di pasar raya selalunya dijual sekitar RM7 hingga RM8 sekilogram tetapi saya jual dalam RM7 kerana harga yang saya dapat daripada orang kampung dalam RM5 sekilogram.

“Pucuk ubi pula saya jual RM2 seikat tetapi kalau beli tiga ikat saya jual RM5. “Semua sayur yang saya jual hari ini (semalam) akan habis hari ini tetapi kadang-kadang kalau tidak habis saya akan jual dengan harga yang lebih murah lagi.

Contohnya, sayur nangka hari ini saya jual RM6 tetapi kalau tidak habis saya akan jual dengan harga RM4 keesokan harinya,” ujarnya. Roslin turut memberitahu bahawa kenaikan harga baja turut memberi kesan terhadap peningkatan harga sayur sayuran sekarang.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru