Monday, September 26, 2022

Buka mata semua pihak

Secara Rawak

STATISTIK yang dikeluarkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada pertengahan 2021 mengenai laporan kes bunuh diri dari 2019 sehingga Mei 2021 sepatutnya membuka mata banyak pihak.

Terutamanya kepada pihak pembuat dasar dan juga pihak kerajaan bahawa isu ini sudah mula meruncing terutamanya di ketika pandemik yang sedang melanda dunia ketika ini. Menurut kenyataan oleh PDRM, dalam tempoh dari 2019 sehingga Mei 2021 sebanyak 1,708 kes telah dilaporkan, iaitu dengan purata kira-kira 3 kes bunuh diri setiap hari.

Antara data yang mengejutkan melalui laporan ini ialah dapatan bahawa kaum wanita lebih ramai menjadi menyumbang kepada kes bunuh diri dengan peratusan 83.5 peratus berbanding kaum lelaki.

Dari segi umur pula, didapati lebih separuh daripada keseluruhan kes ini melibatkan golongan remaja di antara umur 15-18 tahun.

Sebanyak 668 kes melibatkan lingkungan umur 19 hingga 40 tahun, manakala mereka yang berumur lebih 40 tahun menyumbang kepada 168 kes.

Jelas, yang menjadi mangsa kes bunuh diri di negara ini kebanyakannya adalah golongan remaja yang sepatutnya menjadi masa depan membangunkan negara.

Negeri Johor mencatatkan kadar kes tertinggi dengan jumlah kes bunuh diri sebanyak 101 dari 2019 hingga 2020. Negeri Selangor pula mencatatkan kes tertinggi pada tahun 2021 iaitu sebanyak 117 kes dari Januari 2021 hingga Mei 2021.

Tidak ketinggalan, secara purata seramai 77 orang di Pulau Pinang membunuh diri setahun dalam tempoh tiga tahun lalu iaitu antara 2020 hingga tahun ini setakat Mei lalu. Daripada jumlah itu, seramai 78 orang membunuh diri pada 2020; 114 (2021) dan 41 (setakat Mei tahun ini) menjadikan jumlah keseluruhannya seramai 233 orang.

Daripada statistik itu pula, sebanyak 20 kes bunuh diri dengan cara terjun dari jambatan yang mendapat perhatian meluas ketika ini berlaku sepanjang tiga tahun lalu dengan tujuh kes dicatatkan tahun ini setakat Mei lalu.

Tambahan lagi, kaji selidik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati cubaan membunuh diri juga telah meningkat di kalangan remaja seawal usia 13 tahun dengan 10 peratus dari para remaja mengakui pernah melakukan cubaan bunuh diri sekurangnya sekali.

Kesan larangan pergerakan serta penguncian berpanjangan akibat pandemik Covid-19 yang telah merosakkan kehidupan normal, sosial serta ekonomi rakyat tampak jelas apabila berlaku peningkatan kes bunuh diri hampir dua kali ganda berbanding tahun sebelum ini, iaitu sekitar kes bunuh diri 1.7 setiap hari pada 2019

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru