Monday, September 26, 2022

Berani masuk tanah orang

Secara Rawak

KUCHING: Padah memasuki negara ini tanpa permit sah, lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam. 

Hakim Afidah Abdul Rahman menjatuhkan hukuman terhadap Mirno Apriono, 28, dari Sambas, Indonesia selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapannya. 

Mahkamah menetapkan tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat  kuasa dari tarikh tangkap pada 25 Ogos lalu. 

Mengikut pertuduhan, dia didakwa berada di dalam sebuah kedai makan di pusat beli-belah terkemuka, sekitar jam 2.58 petang, 25 Ogos lalu. 

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) Akta yang sama. Sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak kurang RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.  

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, dia turut dijatuhi hukuman penjara lima bulan selepas mengaku bersalah terlibat dalam aktiviti mengendalikan mesin judi iaitu menggunakan sebuah telefon pintar.  

Majistret Zaiton Anuar memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut selepas menjalani hukuman penjara. 

Dia didakwa di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM10,000 bagi setiap mesin judi dan penjara maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.  

Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis menyerbu kedai makan di sebuah pusat beli-belah kerana dipercayai terdapat aktiviti judi dalam talian. 

Semasa pemeriksaan, pihak polis telah menahan tertuduh selepas dia gagal mengemukakan dokumen yang sah memasuki Sarawak. 

Polis juga menemui telefon pintar yang memaparkan laman web perjudian seterusnya laporan pakar judi mengesahkan telefon pintar terbabit mengandungi kios perjudian.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru