Monday, September 26, 2022

AirAsia X hubungkan semula Sydney ke Kuala Lumpur

Secara Rawak

KUCHING: AirAsia X (AAX) mengumumkan penyambungan semula perkhidmatannya dari Sydney dan mengalu-alukan ketibaan penerbangan D7220 ke Kuala Lumpur dengan faktor muatan sebanyak 61 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif AAX, Benyamin Ismail berkata Australia merupakan antara pasaran utama dan mereka berbesar hati untuk kembali menyambung perkhidmatan ke negara itu serta menghubungkan para penumpang antara Sydney dengan Kuala Lumpur dengan tambang berpatutan.

“Kami amat menghargai usaha pihak Kerajaan Australia kerana mempercepatkan proses visa kepada pelancong untuk mengukuhkan pemulihan industri pelancongan.

“Terima kasih juga kepada pihak Kerajaan Malaysia kerana membuka sempadan negara tanpa sebarang sekatan perjalanan yang membantu dalam merangsang pemulihan ekonomi negara,” katanya.

Sementara Pengurus Besar Penerbangan Lapangan Terbang Sydney, Rob Wood berkata pihaknya berbesar hati kerana AAX menyambung semula perkhidmatan popular antara Sydey dengan Kuala Lumpur di samping usaha untuk memenuhi permintaan semakin meningkat untuk perjalanan ke seluruh Malaysia.

“Setelah dua tahun mengalami sekatan perjalanan akibat Covid-19, kami yakin perkhidmatan ini bakal mendapat sambutan menggalakkan dari para pelancong yang ingin melancong di bandar terkenal dalam Malaysia dengan tambang berpatutan,” ujarnya lagi.

Perkhidmatan baharu pulang balik ke Sydney ini tersedia untuk tempahan melalui ikon ‘Flights’ di AirAsia Super App dan juga melalui laman sesawang AirAsia dengan jualan ini sah untuk tempoh perjalanan sekarang dan 28 Oktober kelak.

 

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru