Monday, September 26, 2022

Tampung sumber mentah hutan

Secara Rawak

KUCHING: Industri Ladang Hutan memainkan peranan penting bagi mengurangkan kebergantungan terhadap hutan asli, kata Datuk Seri Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak itu berkata, ia diperlukan bagi mendapatkan sumber bahan mentah bagi menampung industri perkayuan di negeri ini.

“Oleh itu, Kerajaan Sarawak komited membangunkan ladang hutan agar dapat mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu 1 juta hektar tanah menjelang tahun 2025.

“Ia bagi memastikan hutan di negeri ini dapat diurus dan dijaga dengan baik pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Hutan Sarawak di Hotel Imperial, di sini, kelmarin.

Menurutnya lagi, sebagai sebuah negeri yang mempunyai kadar kawasan berhutan tertinggi di Malaysia, jabatan tersebut perlu memastikan khazanah ini terus dipelihara dan dilindungi.

Tambahnya, jabatan hutan perlu menggiatkan lagi usaha ini dengan mewartakan lebih banyak kawasan hutan simpan kekal di negeri ini.

“Jabatan Hutan Sarawak boleh mendapatkan kerjasama dan bantuan daripada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak untuk mengenal pasti kawasan- kawasan yang sesuai untuk diwartakan nanti.

“Selain itu, jabatan ini juga boleh mengenal pasti sumber alternatif untuk meraih pendapatan negeri melalui pertukaran karbon, sumber air, ekopelancongan, perubatan dan Non-Timber Forests Products (NTFP),” katanya.

Mengulas lanjut, jabatan hutan ini berperanan sebagai penjaga hutan di Sarawak bagi memastikan hutan di negeri ini terjaga.

Bagi memperkasakan pelaksanaan fungsi tersebut, Jabatan Hutan Sarawak perlu sentiasa mengkaji semula semua peruntukan yang terkandung dalam Forests Ordinance, Forest Rule serta pelbagai polisi lain dari semasa ke semasa.

“Sarawak mempunyai polisi yang jelas dan komprehensif serta selari dengan dasar pembangunan negeri lain.

“Seluas enam juta hektar telah diperuntukkan sebagai Kawasan Hutan Simpan Kekal dan 1 juta hektar pula sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya.

“Saya berpuas hati dengan keupayaan Jabatan Hutan Sarawak untuk mengekalkan keluasan kawasan berhutan di negeri ini.

“Justeru, Jabatan Hutan Sarawak perlu mengeluarkan syarat-syarat lesen ladang hutan serta mengambil tindakan terhadap pelesen yang tidak bertanggungjawab bagi melindungi hutan-hutan tersebut,” tegasnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru