Monday, September 26, 2022

Pengusaha sawit diseru tingkatkan penggunaan jentera

Secara Rawak

BINTULU: Pemain industri termasuk pekebun kecil bagi sektor perladangan sawit diseru untuk meningkatkan tahap penggunaan jentera di ladang mereka.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin berkata, langkah itu untuk mengurangkan kebergantungan sektor perladangan kepada tenaga kerja asing.

“Bagi menggalakkan penggunaan mekanisasi di sektor perladangan serta menangani isu kekurangan buruh, pihak kementerian melancarkan Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP) pada November 2021.

“Penubuhan MARCOP ini juga diharapkan dapat meningkatkan aktiviti penyelidikan mekanisasi dan automasi di sektor perladangan sawit dalam kalangan pemain industri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sesi Penerangan dan Dialog Guna Tenaga di sektor Perladangan Sawit Tahun 2022 di Hotel Parkcity Everly, di sini.

Menurut Willie, industri perladangan sawit selama ini banyak bergantung kepada sumber tenaga kerja asing dengan melibatkan sebanyak 75 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja dalam sektor tersebut.

“Kita menyedari bahawa kebergantungan berterusan kepada pekerja asing ini mampu menjejaskan sektor perladangan sawit untuk jangka masa panjang,” katanya lagi.

Mengulas akan penganjuran program yang berlangsung, beliau berkata ia diadakan untuk memberi penerangan dan khidmat nasihat kepada pihak pengurusan dan pekerja ladang dalam aspek seperti hak serta tanggungjawab majikan dan pekerja ladang, isu pemerdagangan, amalan terbaik, guna tenaga dan mekanisasi ladang.

“Saya berharap agar sesi yang dilaksanakan ini dapat dimanfaatkan oleh semua dan objektif utama bagi sesi penerangan dan dialog guna tenaga di sektor perladangan sawit ini dapat dicapai,” tambah beliau.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, Martin Ben, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik & Pengurusan) Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Abdul Hadi Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemilik Ladang Sawit Sarawak (SOPPOA), Dr Felix Moh Mee Ho.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru