Monday, September 26, 2022

Cabik Geronong Tarmizi manfaat sistem lot, lipat ganda hasil

Secara Rawak

Siapa kata memilih pekerjaan sebagai petani tidak punya masa depan, buktinya anak muda yang baru sahaja menjejak usia 26 tahun ini berjaya menjana pendapatan lumayan sehingga mencecah RM28,000 sebulan hanya dengan mengusahakan tanaman cili geronong. Hebat bukan?

Ya. Sudah pasti hebat jika berbekalkan kesungguhan, kerajinan dan tidak pernah berputus asa. Ditambah pula dengan penerapan teknologi digital seperti  sistem Internet Kebendaan (IoT) dan fertigasi komersial tentunya mampu memberi pulangan yang maksima.

Pengusaha cili geronong, Ahmad Tarmizi Ahmad Sabirin yang dibantu isterinya Aminur Amira Norasri,29, di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Rampangi memberitahu pemberita, dia mula terlibat dalam bidang pertanian moden setelah tamat Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

“Inspirasi dan minat tercetus dalam bidang ini disebabkan pernah membantu abang sendiri menguruskan tanaman di TKPM Rampangi sebelum ini. Abang juga merupakan mentor dalam bidang pertanian moden selama 6 tahun.

“Seterusnya, saya mula bergerak atas nama syarikat sendiri pada umur 25 tahun dan kini sudah memasuki tahun kedua mengusahakan ladang cili geronong setelah mendapat tawaran daripada Jabatan Pertanian pada 2016,”katanya kepada wartawan Suara Sarawak baru-baru ini.

Menurut Tarmizi, bukan mudah mengusahakan tanaman cili geronong sebanyak empat buah Rumah Pelindungan Hujan (RPH) kerana perlu mengeluarkan modal yang besar untuk mendapatkan bekalan barangan input seperti baja, benih dan sebagainya serta perlu menunggu hasil selama dua hingga 5 bulan untuk dituai.

Tambah anak jati Kuching ini, keluasan bagi sebuah RPH atau rumah hijaunya adalah sekitar 60 kaki lebar 100 kaki panjang manakala, satu RPH boleh memuatkan sehingga 1,000 batang anak pokok cili geronong.

Jumlah hasil tuaian bagi sebuah RPH pula adalah sebanyak RM7,000 sebulan manakala untuk empat buah RPH pendapatannya mampu mencecah RM28,000 sebulan setelah tanaman mengeluarkan hasil selepas empat ke lima bulan.

Pertanian jadi lebih mudah, jelas Tarmizi dengan menggunakan teknik tanaman  secara fertigasi dan dibantu sistem IoT. Fertigasi adalah kaedah tanaman manakala IoT pula adalah mesin yang mengerakkan sistem fertigasi tersebut.

“Fertigasi adalah kaedah pemberian baja melalui sistem pengairan titis. Dalam sistem ini, cecair baja disalurkan menerusi sistem pengairan, jadi, yang mengerakan sistem tersebut adalah pam.

“Pam akan dihidupkan melalui ‘timer’ (timer yang sudah ditetapkan untuk menyiram). Dengan adanya sistem IoT pula, ia boleh mengerakkan sistem fertigasi itu dengan mengunakan telefon pintar sahaja,”katanya mengakui kelebihan menggunakan teknik moden dalam pertanian.

Malah, ujarnya, banyak lagi yang boleh dimanfaatkan menerusi sistem IoT seperti menyukat kepekatan baja untuk disalurkan ke pokok serta mengawal suhu dalam RPH.

“Dan paling hebat kita boleh memantau tanaman di mana-mana sahaja kita berada tanpa perlu turun ke ladang, kerana sudah ada aplikasi sendiri di dalam telefon pintar, ‘ketik ajak’.

Dari segi permintaan dan pelanggan pula, Tarmizi tidak perlu bimbang kerana sudah mempunyai pelanggan tetap sama ada daripada pemborong atau pengusaha restoran seluruh kawasan Kuching.

“Sejak PKP sehingga hari ini, semua pelanggan ialah pelanggan online kerana saya menggunakan platform facebook untuk pemasaran dan pengiklanan hasil tani.

“Pembeli mendapatkan bekalan cili geronong secara borong dengan harga sekitar RM20 hingga 25 sekilogram,”tambahnya dengan memberitahu proses tuaian akan dilakukan tiga kali seminggu.

Semakin banyak pokok cili yang ditanam, semakin lama proses tuaian boleh dilakukan kerana cili geronong tersebut sentiasa mengeluarkan hasil selama empat ke lima bulan.

Selain itu, kejayaannya sebagai petani digital dan moden banyak dibantu kerajaan menerusi Jabatan Pertanian dengan menyediakan tapak dan memberi peralatan untuk memulakan tanaman.

Sementara, Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) menerusi syarikat kontraktor Positive Mind Sdn Bhd sangat membantu meningkatkan produktiviti pertanian selepas memperkenalkan sistem IoT kepada para petani muda di TKPM, Rampangi.

Keselamatan sekitar ladang juga terjamin kerana sistem IoT dilengkapi Kamera Litar Tertutup (CCTV).

Tugasan berkebun yang dahulunya memegang cangkul, namun kini semakin efektif hanya di hujung jari.

Malah, pertanian moden berjaya menarik minat dan mencetus fenomena dalam kalangan golongan muda untuk menceburi sektor ini sebagai kerjaya pilihan atau peluang perniagaan yang menguntungkan.

Dalam era globalisasi kini, semua perkara tidak mustahil untuk dicapai. Sedangkan sampah juga mampu menjadi duit andai ada kesungguhan, apatah lagi berbakti pada tanah pastinya memberi pulangan berlipat kali ganda.

Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Masa depan anda bermula daripada apa yang anda lakukan hari ini. Jika melakukan sesuatu perkara, lakukanlah dengan bersungguh-sungguh kerana kejayaan yang bakal anda kecapi pastinya memberi kepuasan yang tidak dapat diluahkan dengan kata-kata.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru