Monday, September 26, 2022

Aiskrim Malaysia jadi sumber rezeki

Secara Rawak

BALINGIAN: Siapa sangka aiskrim Malaysia yang diusahakan secara kecil-kecilan oleh Nik Norasyikin Karnain, 20, mampu menjana pendapatan sampingan buat keluarganya.

Semuanya bermula dengan sekadar suka-suka ketika Nik hanya membuat aiskrim untuk memenuhi keinginannya sendiri.

“Saya tidak menyangka aiskrim ini menjadi tumpuan ramai ketika memakannya di beranda rumah.

“Sejak itu saya mula menghasilkan 300 hingga 500 batang aiskrim dalam seminggu termasuk perisa milo, jeli, gula apong, kacang merah dan oreo untuk berniaga dari rumah,” katanya kepada Suara Sarawak.

Dijual pada RM1 sebatang, aiskrim buatannya itu turut mendapat tumpuan pelajar kerana rumahnya berhampiran dengan kawasan sekolah.

Menurut Nik, dia agak teruja apabila aiskrim yang diusahakannya itu mendapat permintaan tinggi masyarakat setempat. Aiskrim berperisa milo merupakan aiskrim pertama diusahakannya kerana mudah dihasilkan selain bahan hanya dibeli di Pasar Balingan yang berdekatan.

“Saya hanya perlukan modal RM50 hingga RM60 mengikut perisa termasuk bahan untuk membungkus.

“Alhamdulillah, sepanjang berniaga aiskrim ni, saya mendapat pulangan dan sambutan memberangsangkan daripada pelanggan sekitar dan kampung berdekatan,” katanya.

Dedah Nik, dia memproses dan menghasilkan aiskrim tersebut seorang diri tanpa bantuan mana-mana pihak kerana mahu menjaga kualiti aiskrim tersebut.

“Saya bukan tidak percaya dengan orang lain, tetapi ini merupakan perniagaan kecil-kecilan saya sahaja, jadi adalah lebih baik saya membuatnya sendiri,” katanya.

Tambahnya lagi, dia juga mengurangkan manis dalam aiskrim jika terdapat permintaan terutamanya daripada golongan berusia.

Menurut Nik, walaupun berhadapan dengan cabaran kenaikan harga barangan, dia tetap mengekalkan harga aiskrimnya walaupun hanya memperoleh sedikit keuntungan.

“Alhamdulillah, walaupun untung sedikit, ia sedikit sebanyak membantu kami menampung perbelanjaan harian,” katanya. Nik turut menyuarakan harapan agar aiskrimnya dikenali ramai sehingga di luar kawasan Balingian.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru