Monday, September 26, 2022

Pantau kemajuan setiap negeri

Secara Rawak

KUCHING: Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mewakili Sarawak dalam Mesyuarat Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) di Putrajaya semalam.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dihadiri wakil dari setiap Kerajaan Negeri.

Hasil mesyuarat berkenaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan akan menubuhkan Pusat Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Negara bagi memperkasa dan mempergiat program serta memantau kemajuan SDG negara.

Katanya, penubuhan Pusat SDG Negara di bawah Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri itu dipersetujui dalam mesyuarat Majlis SDG Negara yang dipengerusikan beliau kelmarin.

“Agenda pembangunan mampan ini memerlukan penglibatan dan usaha gigih yang menyeluruh serta inklusif daripada semua pihak supaya tahap kesedaran seluruh Keluarga Malaysia di peringkat akar umbi dan syarikat-syarikat swasta dipertingkatkan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat turut bersetuju dengan penyediaan Laporan Semakan Tempatan (VLR) di peringkat bandaran dan daerah oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta kerajaan-kerajaan negeri dengan sekurang-kurangnya satu laporan akan dihasilkan oleh setiap negeri.

Beliau berkata, setiap negeri digalakkan menyediakan laporan berkenaan sebagai panduan dalam memantau kemajuan Malaysia ke arah pertumbuhan pembangunan negara bagi mengimbangi aspek sosial, alam sekitar dan ekonomi.

Selain itu, Ismail Sabri berkata Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) juga diminta segera memuktamadkan rangka kerja pasaran karbon pada hujung tahun ini bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara rendah karbon.

Pada Isnin, Ismail Sabri mempengerusikan mesyuarat Majlis SDG Negara itu buat julung kali sejak penubuhannya pada 2016 membabitkan pihak berkepentingan daripada pelbagai sektor iaitu sektor awam, sektor swasta, ahli akademik dan pertubuhan masyarakat sivil, yang membincangkan agenda pembangunan mampan negara.

Mesyuarat itu dihadiri ahliahli majlis yang merangkumi Menteri Besar dan Ketua Menteri, Menteri Kanan dan Menteri Persekutuan, Ketua Setiausaha dan Ketua Jabatan, Ketua Kluster Jawatankuasa Kerja SDG, dan beberapa Ahli Parlimen.

SDG dilaksanakan dalam tiga fasa mengikut rancangan pembangunan negara, bermula dengan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), dari 2016 hingga 2020 dan kini dilaksanakan dalam RMK12 (2021-2025) serta akan diteruskan dalam RMK13 (2025- 2030).

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru