Monday, September 26, 2022

Isteri tumbuk suami

Secara Rawak

KUCHING: Seorang wanita tempatan dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, kelmarin kerana menumbuk suaminya yang tidak membenarkan menggunakan nama anak mereka sebagai penjamin membeli kereta.

Tertuduh merupakan ahli perniagaan mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap suaminya berusia 46 tahun di sebuah rumah di Jalan Batu Kawa, sekitar jam 6.15 petang, 29 Julai lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A akta yang sama.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, semasa kejadian, isteri pengadu telah menumbuk bahagian pipi sebelah kanan dan merampas kunci keretanya.

Difahamkan, punca perbalahan antara mereka kerana pengadu tidak membenarkan tertuduh menggunakan nama anak mereka yang berusia 19 tahun menjadi penjamin membeli kereta.

Pengadu yang mengalami kecederaan di bahagian pipi kanan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru