Monday, September 26, 2022

Demi kesejahteraan rakyat

Secara Rawak

SUNGAI ASAP: Seiring dengan momentum pemulihan ekonomi pasca-Covid-19, Bajet 2023 akan terus menumpukan kepada agenda kesejahteraan rakyat terutamanya dalam aspek pendapatan dan perlindungan sosial.

Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah berkata, Bajet 2023 yang bakal dibentangkan pada 7 Oktober depan bertemakan Memperkukuh Pemulihan, Memudah Cara Pembaharuan Ke Arah Kemampanan Daya Tahan Ekonomi dan Kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Menurut beliau, dalam Bajet 2022, Sabah dan Sarawak menerima 60 peratus daripada  peruntukan pembangunan luar bandar dan 85 peratus  daripada peruntukan menaik taraf sekolah daif selain dana tambahan RM500 juta untuk melaksanakan projek berskala kecil.

Peruntukan ini, katanya, jelas bertentangan dengan dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan telah mengabai atau  meminggirkan negeri-negeri tersebut.

Mengenai dana tambahan RM500 juta, Ahli Parlimen Paya Besar itu berkata, ia bagi kerjakerja penyelenggaraan jalan dan infrastruktur pelancongan,  pembaikan kemudahan sosial luar bandar, penambahbaikan infrastruktur kesihatan, projek di  peringkat pihak berkuasa tempatan serta penyediaan dana kredit mikro khusus untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sabah dan Sarawak.

“Kedua-dua negeri ini merupakan penerima terbesar bagi pemberian tahunan Kerajaan Persekutuan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.43 bilion atau lebih 30 peratus merangkumi Sabah sebanyak RM1.16 bilion dan Sarawak sebanyak  RM1.27 bilion,” ujarnya semasa berucap pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Uma Ukit, Sungai Asap di Belaga, semalam.

Jelas beliau lagi, hampir RM1.8 bilion daripada keseluruhan peruntukan RM8.2 bilion atau lebih 20 peratus diperuntukkan kepada Bantuan Keluarga Malaysia untuk manfaat kira-kira RM1.7 juta penerima di Sabah dan Sarawak serta bantuan bulanan kebajikan masyarakat yang merangkumi 20 peratus daripada keseluruhan penerima di seluruh negara.

Penularan wabak Covid-19, telah menyebabkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada tahun 2020 menyusut 5.6 peratus dengan kehilangan hasil sebanyak RM2.4 bilion sehari akibat Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 (PKP 1.0), RM600 juta sehari semasa PKP 2.0 dan RM1 bilion sehari (PKP 3.0) 2020.

Tambah Mohd Shahar lagi, penularan wabak Covid-19 turut  merencatkan perdagangan merentas sempadan dan aktiviti ekonomi dan perniagaan, serta menjejaskan punca pendapatan pelbagai pihak, individu dan industri.

“Wabak Covid-19 yang melanda terkait secara langsung dengan ekonomi dan kewangan semasa negara,” ujarnya sambil menambah kerajaan memperkenalkan pelbagai pakej bantuan dan rangsangan ekonomi sebagai langkah menangani krisis ekonomi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru