Monday, September 26, 2022

Bank Negara naikkan OPR sekali lagi

Secara Rawak

KUALA LUMPUR, 8 Sept : Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus yang merupakan kenaikan ketiga bagi tahun ini.

Menurut bank pusat itu, keputusan yang dicapai dalam mesyuarat kelima Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, turut menyaksikan kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR dinaikkan masing-masing kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus.

“Ekonomi global terus berkembang meskipun pada kadar sederhana, disebabkan oleh tekanan kos yang semakin meningkat, keadaan kewangan global yang lebih ketat serta langkah-langkah pembendungan yang ketat di China.

“Bagaimanapun, pertumbuhan global terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik dan pembukaan semula sepenuhnya bagi kebanyakan ekonomi dan sempadan antarabangsa,” kata BNM dalam satu kenyataan  yang dipetik Bernama pada akhir mesyuarat MPC selama dua hari yang bermula pada 7 September lepas.

Jelas bank pusat itu, tekanan inflasi kekal tinggi berikutan harga komoditi semakin meningkat dan pasaran pekerja yang ketat, meskipun keadaan rantaian bekalan global semakin bertambah baik.

“Kesannya, bank-bank pusat dijangka terus membuat pelarasan pada penetapan dasar monetari mereka bagi mengurangkan tekanan inflasi, dengan sesetengah bank pusat melakukannya pada kadar yang lebih cepat,” katanya.

Menurut BNM, ini khususnya pelarasan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang agresif telah menyumbang kepada persekitaran dolar AS yang kukuh.

“Pada masa hadapan, pertumbuhan global dijangka menghadapi cabaran daripada kesan dasar monetari yang diperketat dalam kebanyakan ekonomi serta langkah-langkah pengurusan pandemik di China.

“Prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan lebih perlahan, termasuk tekanan kos yang tinggi, kemungkinan berlakunya krisis tenaga di Eropah dan keadaan pasaran kewangan yang diperketat secara mendadak,” kata BNM.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru