Monday, December 5, 2022

Bangunkan penyelidik arkeologi tempatan

Secara Rawak

MIRI: Sarawak perlu mengorak langkah ke arah pembangunan generasi pakar arkeologi selari dengan usahanya mempromosikan sektor pelancongan geowarisan di peringkat antarabangsa.

Ia penting dalam mengurangkan kebergantungan kepada tenaga pakar luar khususnya dalam pelbagai bidang khazanah.

Pakar Arkeologi dan Penasihat Khazanah Antarabangsa Profesor Dr Darren Curneo berkata, untuk itu Sarawak perlu membangunkan pusat kecemerlangan penyelidikan sejarah tamadun manusia sebagai platform pembangunan bakat tempatan.

“Saya sedang bekerjasama dengan pihak Perbadanan Hutan Sarawak untuk membangunkan sebuah fasiliti ataupun pusat kecemerlangan untuk penyelidikan di Niah dan idea ini akan menyediakan sebuah kemudahan untuk kita melatih pelajar dan kakitangan tempatan dalam bidang arkeologi, pengurusan khazanah, pemuliharaan.

“Ia sekali gus memberi jaminan kepada penduduk tempatan bahawa mereka mempunyai masa depan yang cerah dalam bidang arkeologi, prasejarah dalam khazanah kebudayaan dalam masa yang sama bekerjasama dengan pelbagai komuniti,” katanya.

Kata Curnoe, penghasilan pakar dalam bidang berkaitan itu penting selaras dengan pengiktirafan Taman Negara Niah sebagai tapak warisan dunia keenam di Malaysia menjelang 2024.

Mengulas lanjut kata Curnoe, sumber khazanah dan alam semula jadi yang masih terpelihara di Sarawak merupakan lubuk kepada industri pelancongan geo-warisan mampan dari sudut ekonomi dan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Mengambil contoh di Australia katanya ia memiliki program sains rakyat bagi melaksanakan penyelidikan saintifik yang juga melibatkan komuniti setempat.

“Di sini (Taman Negara Niah) mungkin kita boleh anjurkan program mengkaji spesies burung atau monyet, orang awam akan datang ke taman negara ini untuk melakukan aktiviti,” katanya.

Sementara itu senada dengan Curnoe, Pengurus Perhubungan Antarabangsa SFC, Rambli Ahmad berkata Sarawak memerlukan lebih ramai penyelidik tempatan dalam menjalankan kajian berkaitan biodiversiti dan arkeologi.

Tidak dinafikan katanya tenaga pakar khusus dalam bidang tersebut masih kurang dan sudah tiba masanya untuk Sarawak melaksanakan pembangunan bakat dari generasi baharu.

“Saya boleh katakan bahawa saya satu-satunya peneroka gua dari Sarawak, saya harap dapat menyaksikan lebih ramai generasi muda untuk menjalankan kajian dalam apa juga bidang seperti gua, geologi mahupun biodiversiti untuk mendapatkan maklumat.

“Dengan itu, kita akan mempunyai lebih ramai wakil yang kuat dari Sarawak dalam penyelidikan gua, arkeologi dan sebagainya. Hasil kajian itu boleh dipersembahkan kepada dunia,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru