Monday, December 5, 2022

PRU-15: Nasib calon dibicarakan di mahkamah

Secara Rawak

PUTRAJAYA: Tiada keperluan untuk menambah syarat baharu bagi urusan pencalonan wakil untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang, khususnya bagi calon yang kesnya masih dibicarakan di mahkamah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata syarat pencalonan pilihan raya sedia ada yang termaktub dalam Perkara 48 (1) Perlembagaan Persekutuan, adalah mencukupi.

Ia menyatakan sekiranya individu itu didapati bersalah dan dihukum dengan hukuman pemenjaraan selama tempoh tidak kurang satu tahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak mendapat pengampunan bebas, akan hilang kelayakan.

“Perkara itu perlu dibaca bersama dengan Perkara 48 (5) berkaitan penamaan, pemilihan atau pelantikan mana-mana orang ke mana-mana satu Majlis Parlimen.

“Sekiranya ditambah lagi, ia akan kembali ke era 90-an yang mana proses pencalonan adalah rumit. Adalah wajar kita berpandu kepada undang-undang sedia ada, yang sememangnya lengkap dan mencukupi untuk proses pencalonan pilihan raya,” katanya seperti dilapor Bernama.

“Bagi memartabatkan demokrasi, tidak perlu menambah syarat-syarat baharu bagi menghalang mana-mana individu daripada bertanding, sebagai contoh untuk menggubal undang-undang bagi individu yang kesnya masih dibicarakan di mahkamah untuk tidak layak bertanding,” katanya.

Wan Junaidi berkata demikian merujuk kepada kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat Datuk Ahmad Yahaya, yang mencadangkan kerajaan untuk mengetatkan syarat kelayakan calon bertanding bagi mana-mana pilihan raya, termasuk melarang individu sedang dalam perbicaraan mahkamah berkaitan kes salah laku, penyelewengan serta rasuah.

Mengenai individu yang telah dipilih sebagai Ahli Parlimen pula, Wan Junaidi berkata keahlian individu terbabit tidak akan tergugur, melainkan syarat di bawah Perkara 48 (4) Perlembagaan Persekutuan berkaitan ahli Parlimen telah dihukum dan belum mendapat pengampunan.

Katanya Perkara 48 (4) (c) menyatakan apabila proses yang terakhir iaitu proses pengampunan gagal, maka barulah keahlian ahli Parlimen tersebut tergugur dengan sendirinya.

Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan mempunyai enam peruntukan berkaitan kehilangan kelayakan menjadi ahli Parlimen.

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru