Monday, September 26, 2022

Pelbagai program, inisiatif pacu ekonomi hidrogen di Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Lebih  daripada 200 wakil dari agensi kerajaan, persatuan industri dan usahawan tempatan hadir dalam Program Keterlibatan Sirim-Industri di sini semalam.

Mereka daripada pelbagai sektor termasuk industri makanan dan minuman, industri minyak dan gas, industri keluli, pembalakan, industri elektrikal di Sarawak.

Program ini yang bertemakan “Merapatkan SIRIM dengan Komuniti dan Industri”  menekankan kepada kepentingan penyelidikan dan pembangunan, pengurusan tenaga, kualiti, latihan, pengujian dan pensijilan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, melalui ucapannya yang disampaikan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh memaklumkan bahawa  kerajaan negeri sedang melaksanakan pelbagai inisiatif dan projek untuk memacu Sarawak ke arah ekonomi hidrogen.

Ini jelas beliau selari dengan status Sarawak sebagai pemacu utama dalam industri tenaga boleh diperbaharui negara.

Beliau berharap SIRIM berupaya memainkan peranan aktif dalam menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi di Sarawak dan bekerjasama dengan agensi kerajaan negeri dan persatuan industri untuk merancakkan lagi sektor pembuatan di bumi kenyalang.

“Sarawak kini merupakan pembekal utama tenaga boleh diperbaharui untuk populasi hampir tiga juta bagi negeri ini dan sebahagian Indonesia di mana 70 peratus daripada jumlah campuran penjanaan adalah daripada sumber kuasa hidro dan seterusnya boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan hidrogen karbon rendah<” katanya.

“Ini menyediakan persekitaran yang ideal untuk membolehkan pembangunan pesat ekonomi hidrogen di Sarawak dan kajian penyelidikan telah dimulakan sebagai langkah perintis untuk meneroka, berinovasi dan menghasilkan hidrogen hijau sebagai penyelesaian bagi aplikasi komersial dan awam,” katanya lagi.

 

 

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru