Thursday, October 6, 2022

PRU-15 pada 19 November?

Secara Rawak

Tarikh PRU-15 sentiasa menjadi teka-teki kepada kebanyakan rakyat. Minat terhadap pilihan raya meskipun dikatakan mengendur dalam kalangan sesetengah pihak, namun tetap ada pihak yang sentiasa mengikuti isu itu dengan penuh ghairah.

Ada yang menyatakan PRU-15 akan diadakan pada tahun depan, dan tidak kurang pula meramalkan pada tahun ini. Setiap orang ada justifikasinya.

Tetapi dengan pelbagai perkembangan yang berlaku dalam arena politik di negara sejak akhir-akhir ini, sudah terang lagi bersuluh, kelihatannya PRU-15 sudah semakin dekat.

PRU hampir pasti akan diadakan tahun ini, dan bukannya pada tahun depan seperti diramal sesetengah pihak.

Pertama, apakah maknanya apabila Belanjawan 2023 yang sepatutnya dibentangkan pada 28 Oktober depan, tiba-tiba diubah ke 7 Oktober? Mengubah tarikh, lebih-lebih lagi mengawalkannya tiga minggu, bukan boleh dibuat sebarangan.

Pasti ada justifikasi kuat mengapa tarikh pembentangan diawalkan. Memang mengawalkan pembentangan bukanlah sesuatu yang luar biasa, kerana belanjawan pernah dibentangkan pada bulan September ketika pemerintahan Tun Abdullah Badawi.

Persoalannya, adakah pembentangan Belanjawan 2023 perlu diawalkan, untuk memungkinkan PRU-15 diadakan sebelum bulan Disember? Sebab pada bulan itu, biasanya negara, terutama di sebelah pantai Timur akan dilanda banjir.

Dari segi rekod, belum pernah lagi PRU diadakan pada bulan Disember di negara ini.

Bagi mengelakkan masalah, termasuk dari segi logistik dan pengundi tidak turun mengundi, maka PRU tidak diadakan pada musim tengkujuh.

Ternyata, SPR yang ditubuhkan pada 4 September 1957, sedar akan risiko mengadakan PRU pada bulan berkenaan.

Dari segi statistik, PRU diadakan sebanyak dua kali pada bulan Mac, tiga kali pada bulan April, tiga kali pada bulan Mei, Julai sekali, Ogos sebanyak tiga kali, Oktober satu kali.

PRU pernah diadakan sekali pada bulan November 1999, iaitu pada 29 haribulan.

Besar kemungkinan Parlimen akan dibubarkan pada 8 September, sehari selepas pembentangan Belanjawan 2023.

Pembubaran Parlimen selepas pembentangan Belanjawan juga bukan tindakan yang luar biasa, kerana Tun Dr Mahathir Mohamad pernah melakukannya pada 1999 selepas berlakunya gelora politik, ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno.

Ketika itu, Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin membentangkan Belanjawan 2000. Baru dua minggu berlalu Dewan Rakyat membahaskan Bajet itu, rakyat dikejutkan dengan pembubaran Parlimen oleh Dr Mahathir berkuat kuasa 12 November.

Memang, dari segi perlembagaan, tiada halangan untuk Perdana Menteri mencadangkan Parlimen dibubarkan pada bila-bila masa, termasuk selepas pembentangan Belanjawan.

Mengambil kira rekod lepas dari tarikh SPR bermesyuarat dan penetapan tarikh pengundian awal dan penamaan calon, besar kemungkinan PRU-15 akan diadakan sama ada pada 19 November. Kalau SPR mengikut kelaziman mengadakan PRU pada hari Sabtu, bermakna, PRU-15 kemungkinan diadakan pada 19 atau 26 November 2022.

Selain daripada mentafsirkan tarikh pembentangan Belanjawan 2023, satu lagi yang dapat kita baca sama ada PRU akan segera diadakan atau tidak ialah tindakan yang diambil oleh parti politik, tidak kira parti kerajaan atau pembangkang kebelakangan ini.

Semua parti politik kini sibuk mengadakan persidangan atau muktamar. Apakah makna ini semua? Mereka ingin mengatur strategi, membangkitkan semangat perjuangan ahli dan akar umbi dan menyediakan jentera untuk berdepan PRU-15.

Hal ini bermaksud bahawa semua pihak sedar bahawa PRU-15 akan diadakan dalam waktu terdekat, apatah lagi Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Ismall Sabri Yakub telah membayangkan bahawa PRU-15 tidak akan diadakan pada tahun depan.

Memang, kini disedari bahawa ada tuntutan dalam kalangan pemimpin dan akar umbi Umno supaya PRU-15 tidak ditangguhkan lagi sekali gus membayangkan keyakinan tinggi parti itu untuk menang besar dalam PRU nanti.

Yang pasti, Perdana Menteri akan cuba menampilkan Belanjawan 2023 yang mesra rakyat dengan menangani isu utama terutama kos sara hidup dan inflasi yang dihadapi rakyat ketika ini.

Habuan yang telah diumumkan beliau pada 30 Ogos kepada lebih 1.6 juta penjawat awam dari segi gaji dan cuti tentu dapat menambat hati mereka.
Menjelang PRU-15, akan wujud sekurang-kurangnya empat blok yang bersaing untuk mendapatkan kuasa, iaitu PH, PN, GTA dan BN.

PH terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah, PN terdiri daripada Bersatu dan Pas, BN terdiri daripada Umno, MIC, MCA dan beberapa buah parti lain, manakala GTA diterajui oleh Dr Mahathir yang disokong oleh beberapa parti kecil lain.

PH menegaskan tidak akan membuka pintu kerjasama dengan PN di sebalik penzahiran hasrat PN dan Bersatu untuk bekerjasama dengan PH “untuk menyelamatkan negara” dengan menentang musuh utamanya,BN. Yang jelas, enam negeri yang dikuasai pembangkang ketika ini, tidak akan mengadakan PRN. Bermakna, sepuluh negeri, termasuk Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor, tidak akan mengadakan PRN kerana baru mengadakannya baru-baru ini.

Setiap blok akan berusaha sedaya upaya untuk memujuk rakyat agar memberi undi kepada mereka.

Dalam kalangan pembangkang yang terdiri daripada PH, PN dan GTA, mereka kelihatannya sukar hendak bekerjasama dan bersatu untuk menentang BN. Realiti semasa, sudah tiada lagi penawar untuk mengelakkan Pas dan Bersatu bertembung dengan Umno-BN walaupun Pas dan BN ialah rakan dalam Muafakat Nasional (MN).

Hal ini berbeza daripada ketika parti pembangkang nekad untuk menentang BN menjelang PRU-14. Ketika itu, semua pihak berazam kuat untuk menumbangkan BN dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, di sebalik dua isu utama, iaitu 1MDB dan GST. Akhirnya BN tumbang dan rakyat gegek-gempita berpesta pada malam 9 Mei 2018.

Kita kini berada dalam persimpangan. Rakyat dan pengundi pasti berdepan dengan dilema.

Siapakah yang akan dipilih oleh mereka? Pas dan Bersatu akan cuba membenamkan BN manakala BN akan cuba memastikan PH dan GTA akan ditewaskan. Masalahnya, Dr Mahathir tidak akan mahu bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, manakala Anwar pula tidak mahu bekerjasama dengan Dr Mahathir.

Dalam keadaan demikian, adakah mungkin keputusan akan memihak kepada BN kerana undi pembangkang pecah? Atau rakyat akan kembali memberi sokongan padu kepada PH?
Beberapa persoalan timbul dalam PRU-15 nanti? Apakah isu utama yang akan dimainkan? Adakah golongan Undi18 akan menjadi penentu keputusan? Adakah peratusan yang turun mengundi rendah?

Dalam apa-apa keadaan, dijangkakan, tidak ada mana-mana pakatan yang akan dapat menang dengan jumlah kerusi yang mencukupi sehingga dapat membentuk kerajaan.

Justeru, pakatan berkenaan – baik PH atau BN – pasti memerlukan sokongan parti dari Sarawak dan Sabah untuk merealisasikan impian berkuasa di Putrajaya.

Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru