Monday, September 26, 2022

Kayuhan semarakkan merdeka

Secara Rawak

KUCHING: Lebih 150 peserta menyertai Program Kayuhan Santai Merdeka 2022 anjuran bersama Kelab Sukan Komuniti (KSK) Satok dan Grup Berbasikal Lejen Kampung Nombor di kawasan Dun Satok.

Program yang bermula jam 7.30 pagi itu turut dirasmikan Adun Satok Datuk Ibrahim Baki di Kompleks Sukan Satok, Padang Slpas di Jalan Muhibbah, di sini, kelmarin.

Pelbagai lapisan masyarakat turut menyertai program berbasikal sejauh lima kilometer itu bagi menunjukkan, sekali gus menyemarakkan semangat kemerdekaan.

Para peserta dikehendaki melengkapkan perjalanan mengikuti laluan Jalan Muhibbah, Jalan Patingan, Jalan Dagok, Jalan Muda Hashim, Jalan Haji Mataim dan Jalan Datuk Ajibah Abol sebelum kembali semula ke kompleks sukan tersebut.

Dalam pada itu, program kayuhan tersebut juga diisi dengan program lain seperti acara basika lajak bagi kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah, cabutan bertuah dan lain-lain.

Sementara, Ibrahim turut memberitahu bahawa program kayuhan ini merupakan satu aktiviti yang dapat memberi peringatan tentang Hari Kebangsaan.

“Di samping melakukan aktiviti sihat, kita juga dapat mengingati Malaysia tercinta melalui kibaran Jalur Gemilang di sekililing kampung.

“Ia juga dapat menonjolkan semangat serta kebanggaan anak Sarawak sebagai bangsa Malaysia,” katanya ringkas.

Dalam pada itu, jurucakap Grup Basikal Lejen Kampung Nombor Shamsuri Osman mendedahkan bahawa program seumpama ini mampu mengumpul golongan dewasa dan muda untuk mengibar Jalur Gemilang, mengelilingi kampung agar suasana dapat dikongsi bersama.

“Hari ini (kelmarin) sahaja, kita mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.

“Seramai 118 peserta berdaftar secara dalam talian dan selebihnya hadir secara hadir terus.

“Justeru, kita rancang untuk membuat program seumpama ini dengan skala yang lebih besar tahun depan,” katanya ketika ditemui wartawan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru