Thursday, October 6, 2022

Diharap usaha Trojan Horse akan gagal

Secara Rawak

Pada 21 Ogos 2021, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selaku Ahli Parlimen Bera, telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-9 mengikut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan setelah pada hemat Yang di-Pertuan Agong beliau mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Selain daripada sokongan padu ahli Dewan Rakyat daripada BN, khususnya UMNO, MCA, MIC dan PBRS, serta GPS dan GRS, kepercayaan majoriti ini terhasil ekoran sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat daripada PN, khususnya BERSATU dan PAS, ke atas Ismail Sabri.

Telah tular baru-baru ini petikan daripada beberapa butiran ‘Perjanjian Persefahaman Bagi Mengikat Usahasama Dan Kesepaduan Politik Serta Protokol Untuk Pembentukan Kerajaan Baharu’ yang ditandatangani antara Ismail Sabri dan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin selaku Pengerusi PN pada 17 Ogos 2021.

Sebenarnya, tidak ada apa-apa butiran yang pelik, meragukan atau merugikan kepentingan UMNO dan BN pun yang terkandung di dalam perjanjian persefahaman tersebut kerana ia hanyalah perjanjian normal dalam usaha memastikan tampuk kerajaan tidak jatuh ke tangan pihak lawan.

Perlu diingati suasana ketika waktu itu, di mana Mahiaddin telah terpaksa meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-8 ekoran tindakan beberapa ahli Dewan Rakyat UMNO menarik kembali sokongan mereka ke atas kerajaan PN pimpinan beliau.

Di dalam situasi begini, setelah dikhianati oleh sebahagian ahli Dewan Rakyat UMNO, sudah pastilah Mahiaddin dan PN, sukar sekali menyokong ahli Dewan Rakyat UMNO sebagai pengganti beliau melainkan jika dapat dipastikan kepentingan PN turut terjaga.

Tidak ada pun butiran perjanjian yang melampau sebaliknya butiran-butiran yang ada hanyalah seperti “jumlah anggota Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri yang diperuntukkan kepada parti-parti dikekalkan” atau akujanji untuk “mengekalkan pelantikan ahli-ahli parti anggota PN dalam Badan-Badan Berkanun dan Syarikat-Syarikat Berkaitan Kerajaan”.

Selebihnya adalah butiran umum mengenai perjalanan kerajaan seperti:

(1) Butiran ke-6 yang berbunyi: Perdana Menteri yang baharu dilantik adalah tertakluk serta hendaklah memberikan akujanji bahawa di dalam pembentukan Jemaah Menteri, beliau akan memastikan bahawa komposisi Jemaah Menteri hendaklah dilantik daripada kalangan individu-individu yang mempunyai integriti yang tinggi, beramanah, bebas daripada sebarang tuduhan jenayah dan tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi.

(2) Butiran ke-8 yang berbunyi: Selaras dengan prinsip integriti dan tadbirurus yang baik, Perdana Menteri yang baharu dilantik juga memberi akujanji untuk meneruskan pelaksanaan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP), melindungi kebebasan badan kehakiman dan menghormati prinsip pengasingan kuasa.

(3) Butiran ke-10 yang berbunyi: Perdana Menteri yang baharu dilantik juga hendaklah memberikan akujanji akan mengadakan rundingan dan mencapai suatu persefahaman dengan Pihak-Pihak sebelum menentukan tarikh pembubaran Parlimen Ke-14.
(4) Butiran ke-14 yang berbunyi: Pihak-Pihak tidak akan melakukan tindakan-tindakan yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Perjanjian Persefahaman ini dan/atau tindakan-tindakan yang boleh menggagalkan semangat setiakawan dan usahasama nasional yang boleh memudaratkan semangat Perjanjian Persefahaman ini.

(5) Butiran ke-15 yang berbunyi: Pihak-Pihak bersetuju bahawa sebarang pertikaian yang timbul hasil daripada Perjanjian Persefahaman ini hendaklah diselesaikan dengan cara rundingan dan perbincangan secara muafakat dan setiakawan di antara Pihak-Pihak tanpa sesekali memudaratkan tujuan utama Perjanjian Persefahaman ini dimeterai.

Oleh itu, adalah sesuatu yang amat mendukacitakan sekali bila Datuk Lokman Noor Adam di dalam siaran beliau pada malam Hari Kemerdekaan, 31 Ogos 2022, telah membuat beberapa dakwaan liar yang merosakkan nama baik Ismail Sabri selaku Perdana Menteri dan Naib Presiden kanan UMNO.

Antara dakwaan yang dibuat oleh Lokman adalah:

(1) “Nombor 7, tuan-tuan, Ismail Sabri telah berjanji tidak akan menukar Peguam Negara. Saya nak beritahu dengan saudara-saudara, kepada pengamal undang-undang, mereka jauh lebih tahu bahawa janji Ismail Sabri ini juga sudah salah dari segi undang-undang, kerana bagaimana dia boleh berjanji dengan Muhyiddin, third party, bahawa dia tidak akan menukar Peguam Negara?”

(2) “Yang paling celaka sekali, saudara-saudara, Ismail Sabri Nombor 9 berjanji, tuan-tuan, berjanji, dia berjanji, saudara-saudara, akan menyegerakan, akan menyegerakan kes-kes Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan juga Datuk Seri Najib Tun Razak. Itu sebab Datuk Najib dihantar ke penjara dan sekarang ini mereka nak segerakan kes untuk menghantar pulak, menghantar pulak apa ni Datuk Zahid ke penjara.”

Lebih malang lagi Lokman mendakwa “perjanjian ini adalah bukti jelas bahawa terdapat campur tangan Ismail Sabri dalam mahkamah, terdapat campur tangan Ismail Sabri dalam Jabatan Peguam Negara.”

Selanjutnya, Lokman juga menambah: “Jadi hari ini kita mintak kepada parti supaya mengambil tindakan disiplin ke atas Ismail Sabri. Nak tunggu apa lagi? Nak tunggu apa lagi?”

Suka dijelaskan bahawa tidak ada di dalam mana-mana butiran perjanjian tersebut pernyataan bahawa “Ismail Sabri telah berjanji tidak akan menukar Peguam Negara” atau bahawa “Ismail Sabri berjanji akan menyegerakan kes-kes Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan juga Datuk Seri Najib Tun Razak.”

Butiran ke-7 perjanjian sebaliknya adalah berbunyi Perdana Menteri yang baharu dilantik juga memberi akujanji akan mengekalkan pelantikan ahli-ahli parti anggota PN dalam Badan-Badan Berkanun dan Syarikat-Syarikat Berkaitan Kerajaan.

Butiran ke-9 perjanjian juga sebaliknya adalah berbunyi Perdana Menteri yang baharu dilantik juga hendaklah memberikan akujanji untuk mengagihkan Peruntukan Khas Perdana Menteri menurut pembahagian tertentu.

Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat ke atas tuduhan jahat ini. Adalah diharapkan agar usaha mana-mana Trojan Horse untuk memecah-belahkan parti dari dalam atau untuk menjatuhkan kerajaan semasa akan menemui kegagalan.

Dr Kamarul Zaman Haji Yusoff adalah Pegawai Khas, Pejabat Perdana Menteri.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru