Thursday, October 6, 2022

Hilang kaki kanan demi negara

Secara Rawak

TIDAK pernah wujud rasa menyesal menyertai tentera bagi Sarjan (B) Akshah Salleh meskipun kehilangan salah satu anggota badan.

Sekitar tahun 80-an, beliau kehilangan kaki kanan akibat jerangkap samar ketika menjalankan rondaan bersamasama platunnya seramai 35 orang di hutan Gerik, Perak.

Mengimbau kembali pengalaman, kejadian itu tidak dijangka kerana dikatakan kawasan operasi pada waktu itu bersih daripada ancaman komunis.

Katanya, jerangkap samar yang ditanam pada ketika itu masih baharu kerana warna tanah yang dikorek masih berwarna kekuningan.

“Ia berlaku tiba-tiba… tidak dijangka benda itu berlaku. Pak cik sendiri pun tidak tahu sebab ia (jerangkap samar) ditanam dalam tanah.

“Pak cik yang berada di tengah, tidak sangka orang depan yang pijak, ia meletup ditengah-tengah,” katanya kepada pemberita selepas menerima anugerah Pingat Jasa Malaysia (PJM) baru-baru ini.

Penyampaian pingat disampaikan oleh Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Akibat letupan jerangkap samar itu, Akshah bersamasama tiga hingga empat anggota tentera terkena serpihan letupan dan ada yang meninggal dunia.

“Apabila Pak Cik kena benda tu, Pak Cik pengsan, kemudiannya diangkut oleh helikopter ke Pulau Pinang.  “Sampai Pulau Pinang, pak cik sedar dan dapat tahu tiada kaki, berbalut sana dan sini,” jelasnya.

Ketika ditanya mengapa menyertai tentera, pesara berumur 71 tahun berkata, beliau meninggalkan keselesaan bekerja di pejabat kerana dunia tentera amat sesuai dengan jiwanya.  Tambahnya, menyertai tentera kerana rasa cinta akan negara dan anak bangsa.

“Saya masuk askar untuk negara, untuk kita semua. Kalau tiada pak cik, tiada kamu semua,” ujarnya.

Pesara dari Kampung Tabuan itu mempunyai seorang isteri, enam orang anak, 20 orang cucu dan empat orang cicit.

Dua orang cucunya turut mengikut jejak langkahnya menyertai tentera.

Oleh itu, Akshah berharap generasi muda dalam pasukan tentera, polis mahupun awam sentiasa berdisiplin, berdedikasi dan mempunyai kesungguhan dalam pekerjaan mereka.

Akshah merupakan antara 713 penerima PJM turut berasa bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan dan Kementerian Pertahanan yang menghargai jasa dan pengorbanannya kepada negara.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru