Monday, September 26, 2022

Siol Mountain Bike rancak

Secara Rawak

SIOL Mountain Bike Challenge2022 yang berlangsung di Trek MTB Siol, Bukit Siol selama tiga hari bermula 26 Ogos lalu cukup menarik.

Program anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dengan kerjasama Malaysia National Cycling Federation dan Persatuan Berbasikal Negeri Sarawak itu berjaya menamatkan lima kategori yang dipertandingkan untuk merebut gelaran juara di kejohanan tersebut.

Bagi kategori yang ditunggu-tunggu, Cross Country Relay iaitu lumba basikal lasak secara berkumpulan sejauh 4.4 kilometer telah dimenangi Orbit Cycle United A dengan rekod masa 22 minit 36 saat.

Diikuti Nieklos Minol Team di tempat kedua, dengan rekod 23 minit 40 saat, Orbit Cycle United B (23 minit 55 saat) di kedudukan ketiga dan AGPG Cyling Team di tempat keempat (24 minit 30 saat).

Untuk Cross Country Olympic Men Elite, Muaz Abdul Rahim dari Orbit Cycle United berjaya merangkul kejuaraan dalam kategori tersebut dengan rekod 1 jam 30 minit 06 saat, melalui jarak 17.4 km melibatkan enam pusingan.

Bagi kategori Cross Country Olympic Men Junior pula, Sheikh Muhammad Harith Sh. Mohd Noh, juga dari Orbit Cycle United merangkul gelaran juara dengan rekod 59 minit 09 saat, melalui trek sepanjang 11.6 km (empat pusingan).

Seterusnya, Supian Nor dari Kelab KCT berjaya menjadi johan bagi kategori Cross Country Olympic Men Master dengan jarak perlumbaan sejauh 11.6 km (empat pusingan), dan ditamatkan dalam tempoh 1 jam 7 minit 56 saat.

Bagi kategori terakhir iaitu Cross Cuntry Olympic Women Elite pula, Natahsya Soon wakil dari Keab Blacko Racing Team berjaya memenangi perlumbaan tersebut dengan rekod 1 jam 16 minit 22 saat, dengan jarak 11.6 km (empat pusingan).

Kesemua peserta yang terlibat turut diberikan hadiah tajaan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak dengan nilai sumbangan bernilai RM150,000.

Dalam pada itu, menterinya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah turut hadir bagi menyempurnakan upacara penyerahan hadiah.

Johan bagi kategori Cross Country Relay dan Cross Country Olympic Men Elite Muaz, 33, mendedahkan bahawa setiap ahli kumpulan berlatih secara berasingan disebabkan jarak yang memisahkan mereka.

“Bagaimanapun, kami sentiasa berhubung menerusi telefon untuk mengetahui perkembangan masing-masing dan membantu dari apa yang mampu untuk meningkatkan keberkesanan dalam latihan.

“Bukan itu sahaja, pemakanan juga perlu dijaga bagi memastikan kami berada dalam keadaan yang baik,” katanya pada Suara Sarawak, di sini, kelmarin

Beliau menambah, kerjasama baik antara pasukan juga menjadi faktor utama kepada pencapaian yang diperoleh dalam pertandingan tersebut.

Manakala johan bagi Cross Country Relay dan Cross Country Olympic Men Junior Sheikh Muhammad Harith, 17, turut meluahkan bahawa acara tersebut mencabar.

Menurutnya lagi, walaupun acara tersebut mencabar, dirinya tetap berusaha untuk melakukan yang terbaik dengan berlatih setiap hari.

“Acara berbasikal lasak sudah menjadi hobi dan minat saya sejak umur 13 tahun.

Menjadi impian saya agar dapat menjadi wakil Malaysia dalam acara ini pada masa akan datang,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru