Thursday, October 6, 2022

Jiwa rakyat merdeka kunci penting kedaulatan dipertahan

Secara Rawak

BETONG: Jiwa rakyat yang merdeka merupakan kunci penting untuk memastikan kemerdekaan sesebuah negara akan terus terjamin.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi memberitahu, ia turut disokong oleh rakyat yang bersatu tekad mempertahankan tanah air.

“Para sejarawan pernah berkata, pengisian sesebuah kemerdekaan jauh lebih sukar daripada usaha menuntutnya dan pandangan ini jelas apabila dikaitkan dengan cabaran globalisasi bersifat dinamik yang dilihat mampu menjadi faktor mengekang kelangsungan negara untuk terus ampuh mempertahankan kedaulatannya dan mara ke hadapan.

“Namun, kemerdekaan sesebuah negara akan sentiasa terjamin sekiranya rakyat memiliki jiwa merdeka dan secara kolektif bersatu tekad mempertahankan kemerdekaan tanah airnya.

“Semua ini semestinya memerlukan transformasi pemikiran, sikap dan sistem nilai yang perlu dijiwai di setiap peringkat umur,” katanya.

Beliau yang juga menteri bertanggungjawab sambutan berkata demikian pada Perayaan Hari Kebangsaan ke-65 Peringkat Sarawak yang dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud di Dewan Sukan Datuk Amar Tan Sri Stephen Kalong Ningkan, hari ini.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan-timbalan Premier, Speaker Dun Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Seri Mohamad Abu Bakar Marzuki turut hadir sama.

Jelasnya, kemerdekaan bererti satu titik permulaan untuk mengangkat martabat negara dan rakyatnya.

“Justeru, sebagai peringatan kepada kita semua, usaha mencapai kemerdekaan bukanlah satu sasaran terakhir pembentukan sebuah negara, tetapi ia merupakan satu permulaan untuk mencapai impian yang lebih besar.

“Impian yang merentas sempadan agama, bangsa, kaum malah merentas latar belakang sosial masyarakat yang ada.

“Kita sebagai anak watan seharusnya menyambut dengan ikhlas amanah ini dan golongan muda seharusnya memiliki keazaman tinggi sebagai penerus usaha bagi merealisasikan keterangkuman impian tadi,” ujarnya.

Kata Julaihi lagi, tema Keluarga Malaysia Teguh Bersama mengambarkan penghargaan keprihatinan, kesungguhan dan ketabahan warga Malaysia dalam mengaharungi cabaran dan dugaan Covid-19.

“Ia dlihat sebagai usaha membina nilai kesefahaman dan penyatuan dalam kepelbagaian ras, etnik dan suku yang ada di kalangan masyarakat kita.

“Kepelbagaian budaya, adat resam dan agama yang ada di jadikan sebagai tiang seri dalam pembinaan negara bangsa yang bersatu padu dan harmoni,” tambahnya.

Dianggarkan 1,500 tetamu hadir menunjukkan semangat cintakan negara di Betong sebagai tuan rumah sambutan peringkat Sarawak.

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru