Saturday, December 3, 2022

Guna bas sekolah seludup diesel

Secara Rawak

MIRI: Sebuah van bertulis ‘bas sekolah’ dirampas bersama-sama muatan 250 liter minyak diesel selepas pemandunya gagal mengemukakan sebarang permit untuk membawa barang kawalan daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Jalan Cattleya 3 berhadapan MSTS Miri, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Chabu berkata, pihaknya turut menahan pemandu berusia 33 tahun. Menurutnya, salah laku dikesan pada 9.30 pagi Ahad oleh Unit Risikan Marin (URM) Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Wilayah Lima Miri semasa menjalankan Op Kontraban.

“Polis menahan sebuah van jenis Toyota Hiace berwarna kuning.

“Pemandu mengaku membawa minyak diesel di bahagian belakang menggunakan satu tangki tambahan dan tiga tong berwarna putih, yang keseluruhan 250 liter.

“Suspek bagaimanapun gagal mengemukakan sebarang bukti berdokumen kebenaran memiliki, menyimpan atau membawa barang kawalan tanpa permit, lesen atau kebenaran khas daripada KPDNHEP,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM 16,327.50. Tambahnya, kesemua barang rampasan dan tangkapan diserah kepada KPDNHEP Miri untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru