Monday, September 26, 2022

STIDC jalin kerjasama kembangkan industri perabot Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Kerjasama antara Persatuan Industri Perabot Sarawak (STA) dengan Perbadanan Kemajuan Industri Kayu Sarawak (STIDC) serta Persatuan Perabot Muar (MFA) berpotensi mengembangkan industri perabot di pasaran dunia.

Pengurus Besar STIDC, Hashim Bojet berkata, kolobrasi ini sejajar dengan bekalan bahan mentah Sarawak yang banyak untuk membangunkan industri tersebut di negeri ini. “Pada masa ini, pasaran dunia untuk industri perabot adalah dianggarkan sejumlah AS$500 bilion berbanding dengan eksport perabot Malaysia hanya RM13 bilion.

“Pihak industri perabot di Muar juga menyumbang sebanyak RM7 bilion dari segi nilai eksport perabot dan Sarawak pula mengeksport kurang daripada RM100 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Persatuan Industri Perabot Sarawak dan Persatuan Perabot Muar di Hotel Pullman semalam.

Menurutnya, kerjasama tersebut turut dilihat selari dengan perancangan membangunkan Taman Perabot Sarawak untuk tujuan meluaskan lagi industri perabot agar dapat mencapai matlamat eksport perabot tidak kurang dari RM4 bilion ke pasaran dunia.

“Sarawak merancang untuk membangunkan dua taman perabot iaitu di Demak Laut Kuching dan di Tanjung Manis. “Dengan kolabrasi bersama-sama pihak MFA, kita dapat meninjau cara pihak MFA membesar dan memperluaskan operasi mereka ke Sarawak, sekali gus membantu kita untuk meningkatkan pengeluaran perabot untuk pasaran eksport,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau turut menyifatkan bahawa bahan mentah yang belum digunakan sepenuhnya seperti spesies kayu Akasia dan Eucalyptus juga dapat dijadikan bekalan untuk mengeluarkan produk perabot.

“Pihak industri di Muar banyak menggunakan kayu getah sebagai bahan mentah untuk mereka mengeksport perabot ke luar negara. “Kita sekarang mempunyai infrastruktur sedia ada yang dapat menyokong pelaburan perabot ini di Sarawak. “Jadi ini adalah antara tujuan kita berkolobrasi bersama pihak MFA dan STA,” katanya lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru