Monday, September 26, 2022

RM100,000 untuk SUFC

Secara Rawak

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) memotong dana hak penyiaran Sarawak United FC (SUFC) sebanyak RM100,000, untuk disalurkan kepada pemain dan pegawai pasukan itu yang berdepan masalah tunggakan gaji sekarang ini.

Keputusan itu dicapai sebulat suara dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL keempat 2021-2025 yang dipengerusikan oleh Presiden MFL Datuk Ab Ghani Hassan, bagi meringankan beban pemain dan pegawai SUFC.

“Pembayaran kepada pemain SUFC yang terlibat akan disalurkan Persatuan PemainPemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM),” menurut Bernama dalam kenyataan MFL kelmarin . MFL yang memandang serius isu tunggakan gaji melibatkan SUFC, mengarahkan pasukan itu untuk menyelesaikan masalah tersebut dalam tempoh 14 hari berkuat kuasa Jumaat lalu.

SUFC turut berdepan kemungkinan tidak dibenarkan bertanding dalam saingan Piala Malaysia sekiranya masalah itu tidak diselesaikan dalam tempoh diberikan. Selasa lepas, PFAM mengesahkan menerima laporan isu tunggakan gaji yang berlarutan hampir empat bulan membabitkan beberapa pemain pasukan SUFC.

Dalam kenyataan berasingan, MFL memaklumkan Rapid Rail mengesahkan operasi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di Stesen Bukit Jalil akan dilanjutkan sehingga 1 pagi bagi memenuhi kehadiran kira-kira 80,000 penyokong di Stadium Nasional di Bukit Jalil bagi menyaksikan final Piala FA, 10 September ini.

Turut disediakan adalah tren tambahan sejurus tamat perlawanan bagi memberikan keselesaan kepada penyokong dua pasukan finalis, Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pulang ke destinasi masingmasing. Semua pengguna LRT juga dinasihtkan supaya dapat menggunakan Touch ‘n Go selain membuat urusan tambah nilai terlebih dahulu, sebelum tiba di stesen bagi melicinkan pergerakan.

Rapid Rail turut memberi jaminan mampu memenuhi keperluan semua pengguna walaupun sebuah konsert turut berlangsung pada hari yang sama di Axiata Arena di Bukit Jalil.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru