Monday, September 26, 2022

Koperasi perlu beralih kepada pemasaran dalam talian

Secara Rawak

KUCHING: Gerakan koperasi Malaysia mengambil peluang untuk bergerak ke arah pendigitalan dalam operasi dan pengurusan, seiring dengan situasi semasa. Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021-2025 (TransKom) merupakan dokumen strategik yang menggariskan langkah-langkah transformasi bagi memperkasakan gerakan koperasi di Malaysia.

Dengan adanya pelan ini, ia dapat menjadi faktor pemangkin kepada pertumbuhan sosioekonomi Malaysia yang lebih seimbang, inklusif, progresif dan juga mampan. Menurut Ahli Jawatankuasa Kumpulan Perniagaan Koperasi Kelestarian (SCBG), Dr Azlina Bujang, pergerakan koperasi perlu beralih kepada pemasaran dalam talian iaitu tempat ia berdaya maju berbanding perniagaan konvensional pada ketika ini.

“Dasar strategik untuk mentransformasikan model perniagaan bercorak tradisional ke moden berteraskan teknologi adalah amat signifikan kepada kelestarian model perniagaan koperasi yang berdaya saing. “Pemasaran digital ini amat penting kerana ia berpotensi untuk menjadikan perniagaan sehingga ke peringkat global,” katanya.

Sehubungan itu, penggunaan platform perniagaan digital ini mendatangkan banyak manfaat kepada peruncit dan juga pengguna kerana harga barangan yang dijual dalam talian lebih berpatutan.

Teknologi turut membantu koperasi dalam memahami keperluan dan kehendak pelanggan contohnya seperti Analisis Big Data dan AI yang dapat digunakan untuk membuat profil pelanggan kemudian digunakan untuk produk dan perkhidmatan sesuai serta penggunaan media sosial seperti Facebook, Twitter dan YouTube yang memainkan peranan penting ke arah pendigitalan.

“Penggunaan media sosial dan teknologi digital dalam aspek promosi dan komunikasi ini secara tidak langsung meningkatkan keyakinan dan persepsi positif masyarakat terhadap gerakan koperasi di Malaysia,” tambahnya.

Bukan itu sahaja katanya, teknologi digital berupaya untuk membantu pihak koperasi meningkatkan ketelusan operasi dengan menyediakan satu sumber informasi bersepadu yang dapat diakses serta dipercayai, sekali gus membolehkan pembuatan keputusan lebih baik tepat pada masanya, proses perniagaan lebih berkesan dan juga budaya pengurusan keseluruhan lebih mantap.

Azlina juga berharap transformasi ke arah pendigitalan ini mampu membawa sinar baharu kepada pertumbuhan gerakan koperasi di Malaysia yang lebih mampan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru