Abang Johari: Kerajaan mendengar dan prihatin keluhan rakyat

0
3

KUCHING: Premier Sarawak berkata, sekarang ialah masa yang sangat mencabar bagi rakyat di negeri ini disebabkan beban kos sara hidup yang semakin tinggi.

Menurut Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, beliau  mendengar keluhan rakyat berkenaan harga barang yang semakin meningkat seperti harga ayam dan telur, kenaikan harga minyak masak dan sebagainya.

“Setakat Jun 2022, inflasi Malaysia meningkat 3.4 peratus berbanding pada bulan yang sama tahun sebelumnya, manakala kadar inflasi Sarawak meningkat 3.2 peratus berbanding pada bulan yang sama tahun sebelumnya,” katanya ketika mengumumkan  Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 9.0 di sini hari ini.

Sehubungan itu, jelas beliau sebagai kerajaan yang mendengar dan prihatin terhadap keluhan rakyat, Kerajaan Sarawak telah mengambil keputusan untuk menyambung pemberian bantuan bagi meringankan beban rakyat Sarawak yang terkesan akibat kenaikan kos sara hidup, terutama yang berpendapatan rendah.

“Sukacita saya ingin memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak akan melaksanakan Pakej BKSS 9.0 yang merangkumi lima langkah bagi tempoh enam  bulan mulai Julai hingga Disember 2022,” katanya.

Pakej berkenaan meliputi diskaun elektrik dan bil air, diskaun tafsiran kadar cukai pintu, diskaun 50 peratus sewa pasar dan gerai, serta perubahan harga untuk bahan pembinaan membabitkan kos RM1 bilion.