Sunday, September 25, 2022

20 Timbalan Chef De Mission dilantik menjelang Sukma XX Kuala Lumpur

Secara Rawak

KUCHING: Timbalan Ketua Kontinjen ‘Chef De Mission’ (ACDM) Sarawak Sukan Malaysia ke-20 (SUKMA XX) Kuala Lumpur yang telah dilantik diingatkan untuk lebih tegas bagi memastikan persediaan para atlet tidak tergendala akibat masalah kebajikan mahupun peribadi.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawanan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, tanggungjawab ACDM boleh disifatkan sebagai ‘ibu dan bapa’ kepada atlet-atlet untuk bersama-sama pasukan Sarawak dalam mengharungi saingan Sukma XX yang bermula pada 16 September depan.

“Semua ACDM perlu tahu apa peluang untuk sukan yang anda dipertanggungjawabkan untuk jaga, pastikan minda atlet bersedia dengan perlawanan dan tingkatkan semangat juang mereka, lihat mereka sebagai anak kamu sendiri.

“Anak-anak muda ini mudah terkesan dengan perkara-perkara biasa, kadang-kadang hilang telefon, hilang baju di tempat penginapan membuatkan mereka tidak fokus sehingga tidak menunjukkan persembahan yang sebenar ketika perlawanan.

“Jadi perkara ini yang ACDM perlu bersedia hadapi nanti sekiranya berlaku,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Bersama Chef De Mission dan Pegawai-pegawai Kontinjen Sarawak Sukma XX di Hotel Margherita semalam.

Majlis menyaksikan seramai 20 ACDM telah dilantik yang terdiri daripada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ditugaskan untuk menjaga bidang sukan masing-masing bakal menyertai kontinjen Sukma Sarawak XX ke Kuala Lumpur nanti.

Tambah Karim, pelantikan ACDM diharap mampu menjadi pengalaman berharga buat beberapa ahli baharu dalam terlibat dalam Sukma XX.

“Kebanyakan yang dilantik merupakan wakil rakyat, jangan mengharapkan layanan istimewa, libatkan diri apabila ada pertandingan diadakan.

“Ketegasan juga perlu ada, kadang-kadang terdapat beberapa usaha untuk mengganggu pasukan Sarawak, jadi kita kena berani bersuara ketika mesyuarat mahupun semasa pertandingan,” tegasnya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan merangkap CDM Kontinjen Sarawak Sukma XX Kuala Lumpur, Datuk Gerald Rentap Jabu, percaya dengan kerjasama diberikan semua pihak mampu memastikan pasukan Sarawak bersedia menjelang perlawanan.

Beliau turut memberi amaran agar pihak pengurusan sentiasa memberi kerjasama dan memikul tanggungjawab yang diberikan dengan teliti.

Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Sarawak Dr Ripin Lamat, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak Nancy Jolhi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru