Saturday, December 3, 2022

SUPP terima 10 aduan mangsa dari Sarawak ditipu di Kemboja

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan Persekutuan harus menyediakan talian hotline WhatsApp sebagai tindakan segera untuk menyelamatkan rakyat Malaysia yang terperangkap di Kemboja ekoran penipuan pekerjaan.

Ia ekoran terdapat laman berita menyiarkan usaha Kerajaan Hong Kong bekerjasama dengan Kementerian Luar Negeri China dan Interpol untuk membawa pulang rakyat mereka yang menjadi mangsa perdangangan manusia di Asia Tenggara dengan mewujudkan talian hotline WhatsApp.

Ketua Biro Pengaduan Awam Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP) Milton Foo berkata, inisiatif yang serupa harus dilaksanakan di Malaysia.

“Menurut laporan berita global, ribuan telah dipenjara, didera dan dipaksa untuk bekerja dan menipu orang ramai seluruh dunia.

“Memandangkan penipuan berleluasa, Kerajaan Persekutuan, Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Dalam Negeri harus menyediakan talian hotline serupa untuk tindakan segera,” katanya pada sidang media di Gala City, Jalan Tun Jugah, di sini hari ini.

Milton dalam pada itu turut menggesa Kementerian Luar Negeri untuk mengisukan amaran kepada rakyat Malaysia yang merancang untuk bekerja di Kemboja.

Tambahnya, pihak berkuasa seperti Kastam harus mengawasi rakyat Malaysia yang mengembara atau bekerja di Kemboja.

Selain itu, katanya, pihak berkuasa perlu mempamerkan amaran dari kerajaan di lapangan terbang negara seperti yang dipamerkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong.

Dalam perkembangan yang sama, Milton berkata, Biro Pengaduan Awam SUPP telah menerima 10 kes mangsa ditipu pekerjaan di Kemboja.

Katanya, pihaknya telah menasihatkan ahli keluarga untuk membuat laporan polis dan akan membantu menyerahkan laporan tersebut kepada Kementerian luar melalui Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Jelasnya, Kementerian Luar Negeri akan bekerjasama rapat dengan kedutaan Malaysia di Phnom Penh yang meminta bantua kepada pihak polis di Kemboja untuk menyelamatkan mangsa.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru