Saturday, December 3, 2022

Ugut jiran guna parang

Secara Rawak

KUCHING: Padah ugut jiran menggunakan sebilah parang kerana enggan meminjamkan motosikal, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Tertuduh Philip, 30, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di Hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia sengaja mendatangkan ketakutan terhadap wanita berusia 25 tahun.

Dia melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Bandar Baru Samariang, di sini, pada 21 Ogos lepas.

Oleh itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, semasa kejadian, anak kandung pengadu mengamuk dan membawa sebilah parang menuju ke rumah jiran sebelah kerana tidak berpuas hati terhadap jirannya yang enggan meminjamkan motosikal.

Jiran pengadu (mangsa) kemudian lari masuk ke dalam rumah kerana bimbang akan dicederakan tertuduh. Tiada sebarang kecederaan dialami mangsa.

Pengadu yang merupakan ibu tertuduh membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatan diri dan ahli keluarga lain kerana sering diancam oleh tertuduh.

Hasil siasatan, tertuduh didapati telah melakukan ugutan jenayah dengan menghayun dan melibas sebilah parang pada pagar dan motosikal dalam keadaan marah di kawasan rumah mangsa.

Difahamkan, tertuduh melakukan perbuatan itu dalam keadaan di bawah pengaruh alkohol.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru