Thursday, October 6, 2022

PRU-15 tahun ini atau tahun depan?

Secara Rawak

PRU-15 tahun ini
Pada Sabtu lalu, 13 Ogos 2022 saya sempat berbincang tentang politik dengan seseorang yang mendakwa tahu akan bila PRU-15 akan diadakan. Menurut sumber saya itu,

Parlimen akan dibubarkan seawal bulan ini. Saya pasti agak terkejut, kerana tidak menjangka tarikhnya seawal itu. Menurut jangkaan saya, PRU-15 mungkin diadakan seawal-awalnya pada Oktober atau November dan selewat-lewatnya pada suku pertama tahun depan.

Hakikat bahawa PRU-15 besar kemungkinan diadakan pada tahun ini semakin meyakinkan apabila mengambil kira kenyataan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan majlis penutup Konvensyen Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur pada Ahad lalu.

Beliau berpandangan jika PRU15 diadakan tahun depan, gabungan BN bakal berdepan laluan yang lebih sukar susulan faktor ekonomi dan kadar inflasi yang mungkin meningkat, Maksudnya, PRU perlu diadakan tahun ini.

BN juga menyatakan bahawa ia kekal dengan keputusan untuk bergerak solo dalam PRU-15. Maksudnya, ia tidak akan bekerjasama dengan Muafakat Nasional dan Pakatan Nasional.

Jadi, BN tidak akan bekerjasama dengan Pas dan Bersatu. Jelaslah bahawa BN begitu yakin untuk melakar pencapaian cemerlang dalam PRU nanti. Persoalannya, mampukah BN membentuk kerajaan tanpa sokongan parti lain?

Atau BN perlu bersikap realistik bahawa tidak mungkin baginya memenangi sekurang-kurangnya 112 kerusi dan seterusnya membentuk kerajaan. Dalam PRU-14, PH memenangi 113 kerusi dan meraih 45.68 peratus undi berbanding BN hanya meraih 33.77 peratus undi.

Kemenangan dengan majoriti tipis itu menyebabkan berlakunya ketidakstabilan politik dan munculnya politik katak. Pada PRU-13, BN memenangi 133 kerusi, cukup untuk majoriti mudah.

Di Sarawak, BN ketika itu hanya memenangi 19 daripada 31 kerusi, berkurangan enam kerusi berbanding PRU-13, dengan meraih 61 peratus undi.

Daripada jumlah itu, 47 dimenangi melalui PKR, DAP (42), Bersatu (13), Amanah (11) dan parti bersekutu, Warisan (8). BN pula memenangi 87 kerusi, tetapi sebahagian daripada wakil rakyatnya melompat parti.

Sebahagian daripada wakil rakyat Umno, yang ketika itu memikirkan parti itu sudah gelap masa depannya, dan selain untuk menyelamatkan diri sendiri menjadi kata politik dengan menyertai Bersatu.

Tegasnya, BN perlu sokongan parti-parti lain, termasuk dari Sarawak dan Sabah. Menjelang PRU-15, semua pihak mendakwa mampu membawa kebaikan dan mengubah nasib rakyat dan negara.

Namun, untuk kali ini, rakyat sudah dapat membezakan pakatan mana yang lebih berhak untuk diberi mandat. Mereka tidak lagi boleh temberang atau menjual air liur basi.

Sejak 2018, kita telah menyaksikan tiga Perdana Menteri dengan tiga pakatan berlainan, iaitu PH dan PN. Apakah yang dilakukan oleh PH selama 22 bukan memerintah, terutama untuk rakyat Sarawak?

Adakah nasib rakyat Sarawak lebih baik? Adakah Sarawak mendapat peruntukan dan projek yang lebih banyak di bawah PH? Adakah janji PH dalam manifestonya yang tebal itu ditunaikan termasuk royalti minyak 20 peratus? Atau PH lebih banyak membatalkan projek, termasuk jambatan dan jalan raya yang sepatutnya dibina demi kepentingan rakyat? Inilah antara persoalan yang saya percaya akan dipertimbangkan oleh rakyat nanti.

Siapakah yang kelihatan lebih bersedia kali ini? Adakah BN atau PH? Berbanding menjelang PRU-14, kali ini seolah-olah PH tidak bermaya dan belum bersedia. Ingat, sebelum PRU-14, semangat PH dan pemimpinnya begitu membara mahu menumbangkan BN.

Sebaliknya, PH mahu supaya PRU-15 ditangguhkan kalau dapat sampai ke tempoh maksimum ketika sebahagian daripada pemimpin Umno mahu menyegerakannya.

BN sebenarnya telah memukul gendang perang dengan melancarkan jentera parti dari sebuah negeri ke sebuah negeri. Kita sudah dapat melihat bagaimana aktifnya pergerakan BN sejak beberapa minggu ini. BN telah turun ke akar umbi untuk menyantuni ahli dan rakyat.

Adakah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga naib presiden Umno terpaksa tunduk kepada Majlis Tertinggi Umno atau beliau perlu membuat keputusan sendiri?

Menjelang PRU-14, PH dan rakyat pada amnya mahu BN dan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak tersungkur dari kerusinya di Putrajaya. Ramuan untuk kemenangan begitu banyak.

Malah, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menerajui PH sanggup berjumpa dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah.

Mahathir juga sanggup berpeluk dengan musuh politiknya untuk sekian lama, Lim Kit Siang dan DAP. Ya, atas satu tujuan, mahu memastikan kemenangan. Semua itu berlaku di sebalik dua isu utama, iaitu 1MDB dan GST yang begitu menggelegak ketika itu. 1MDB dianggap ibu segala isu manakala GST dianggap cukai yang membebankan. Rakyat pun masuk ke dalam perangkap PH, dan apabila PH berkuasa maka GST pun dihapuskan.

Terus terang, adakah hidup anda kini bertambah baik tanpa cukai berkenaan? Atau penghapusannya memperlihatkan kebebalan rakyat dan pemimpin yang hanya mahu berkuasa?

Ingat, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang menggantikan sistem cukai itu kembali dengan cukai SST ketika lebih 170 negara kini mengamalkan sistem cukai berkenaan. Adakah kita mahu bebal sekali lagi?

Apakah agaknya isu yang bakal dimanipulasikan PH kali ini? Mungkinkan naratif politik berkaitan isu kapal tempur pesisir (LCS) dapat menambat imaginasi politik rakyat? Atau isu perut, inflasi dan kos sara hidup yang melonjak akan mendominasi?

Untuk PRU kali ini, tidak mudah lagi bagi PH mempengaruhi rakyat? PKR, salah satu parti komponen PH, tidak lagi sekuat seperti sebelum PRU-14. Parti itu sudah berpecah, susulan Langkah Sheraton.

Apatah lagi kini, parti pembangkang sukar bersatu. Mahathir meragui Anwar dan Anwar meragui Mahathir. Tidak mungkin Anwar mahu jatuh ke dalam lubang yang sama tiga kali. Apatah lagi, imej dan reputasi Mahathir sudah terpukul teruk.

Beliau tidak lagi berada di puncak populariti seperti sebelum PRU-14. Ya, siapa yang masih mahu mempercayai Mahathir? Musuh yang kemudian menjadi kawan, kini kembali menjadi musuh. Tidak mungkin bagi PH untuk bekerjasama dengan parti seperti Pejuang pimpinan Mahathir dalam PRU nanti.

BN akan muncul sebagai parti dominan yang menguasai jumlah kerusi terbanyak dalam PRU nanti, tetapi tidaklah sampai berjaya untuk membentuk sendiri kerajaan.
Tidak mungkin bagi gabungan itu untuk melakar kegemilangan yang pernah dicapainya sebelum ini, terutama pada tahun 1980-an dan 1990-an.

Kalaupun BN memenangi katakan 80 kerusi daripada 165 kerusi di Semenanjung, gabungan itu masih perlukan 32 kerusi dari Borneo.

Dengan GPS dijangka memenangi sehingga sekitar 26 kerusi, gabungan pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg itu tentu akan menjadi ‘kingmaker’.

Ini baik untuk Sarawak dalam konteks tawaran yang menguntungkan rakyatnya. GPS dijangka akan berdepan PRU-15 dengan keyakinan tinggi di sebalik kejayaan besar memenangi 76 daripada 81 kerusi DUN pada PRN-12 lalu.

GRS dari Sabah dijangka memenangi 10 kerusi manakala Warisan enam kerusi. Warisan akan menyokong parti yang menang di peringkat nasional. Yang pasti, PRU kali ini akan lebih menarik di sebalik pelbagai isu asas yang melanda rakyat dan negara.

Penulis ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru