Saturday, September 24, 2022

Wartawan perlu bijak untuk buru kecemerlangan

Secara Rawak

KUCHING: Wartawan dinasihati untuk sentiasa konsisten menghasilkan karya supaya dapat meningkatkan kerjaya ke tahap yang lebih tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Dr Chamil Wariya berkata, selain itu usaha menambah ilmu termasuk mengekalkan tahap disiplin juga merupakan perkara penting.

“Insya-Allah sekiranya perkara ini boleh dilakukan, kita akan naik dalam hierarki kewartawanan.

Bagaimanapun, apa yang penting selagi kita berpegang kepada asas kewartawanan – melaporkan berita berdasarkan fakta betul, wartawan muda juga akan menguasai bidang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perkongsian Menghasilkan Karya Memenangi Anugerah Hari Kewartawanan Malaysia (HKM) di Auditorium Tegas Digital Village Taman Teknologi Tinggi, dekat sini Rabu.

Dr Chamil memaklumkan beliau sudah berkecimpung dalam kewartawanan sudah 50 tahun dan membawanya terlibat dalam dunia akhbar cetak, radio dan penyiaran televisyen.

Dalam perkembangan lain, beliau juga menggesa agar wartawan di Sarawak menyertai anugerah berprestij di peringkat nasional kerana semua peluang terbuka untuk wartawan di negara ini.

Menurutnya, tujuan HKM bagi mengiktiraf semua elemen kewartawanan daripada laporan berita, infografik termasuk penghasilan muka depan akhbar.

“Justeru, kita sangat menggalakkan penyertaan media tempatan di negeri ini khususnya Suara Sarawak, New Sarawak Tribune, TVS dan sebagainya,” jelas beliau.

Ini merupakan bengkel ke-26 dilaksanakan untuk wartawan Suara Sarawak dan New Sarawak Tribune bagi memberi pendedahan kepada wartawan mengenai mencapai anugerah berprestij dan bagaimana menjadi seorang wartawan yang boleh menyerlah serta dapat membina jenama sendiri.

Antara yang pernah ditampilkan Suara Sarawak memberi ceramah motivasi ialah personaliti media terkemuka Suhaimi Sulaiman, pemenang Anugerah Kajai Shahren Yusri yang juga Pengurus Besar Centexs Commercial serta beberapa nama yang terkenal dalam dunia media tempatan.

Untuk rekod, anugerah HKM itu juga terbuka kepada manamana organisasi media termasuk media cetak, elektronik dan media dalam talian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Program kelmarin dihadiri kira-kira 150 kakitangan Suara Sarawak, New Sarawak Tribune dan TVS termasuk Ketua Eksekutif SV News Sdn Bhd Dr Jeniri Amir, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Dzulfrizal Zulkapli serta kakitangan kanan yang lain.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru