Sunday, October 2, 2022

Suami pukul isteri dipercayai curang terima padah

Secara Rawak

KUCHING: Seorang tukang kebun dipenjara dua minggu dan denda RM2,000 kerana memukul isterinya yang dipercayai curang dengan lelaki lain setelah membaca perbualan mereka melalui aplikasi whatapps.

Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh Anthony, 26, dari Niah selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapannya.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali turut menjatuhkan hukuman penjara dua minggu bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama, kerana menampar muka, memukul lengan kanan dan menolak dada isterinya yang berusia 19 tahun hingga mendatangkan kecederaan.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau didenda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Manakala pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, kerana melakukan ugutan jenayah bunuh terhadap mangsa.

Bagi kedua-dua pertuduhan, dia didapati melakukan kesalahan tersebut di sebuah hotel bajet di Kota Sentosa, kira-kira jam 2 pagi, 15 Ogos lalu.

Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian, tertuduh telah bertindak agresif memukul dan menampar pengadu setelah membaca perbualan mesej dengan teman lelakinya menerusi aplikasi whatapps.

Selain itu, tertuduh telah meminta penjelasan daripada pengadu siapa lelaki tersebut namun enggan menjelaskan hingga menimbulkan kemarahan tertuduh dan menggeluarkan kata-kata ugutan.

Pengadu yang mengalami kecederaan telah dihantar ke hospital seterusnya membuat laporan polis untuk siasatan lanjut hingga membawa kepada penangkapan tertuduh pada hari yang sama kejadian.

Difahamkan, tertuduh dan pengadu masih suami isteri yang sah melalui perkahwinan adat Iban dan hasil perkahwinan mereka mempunyai seorang anak berusia lima tahun.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru