Sunday, October 2, 2022

Program Kanak-kanak Juara Keselamatan Kebakaran dekati komuniti Cina di Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Buat julung kalinya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerusi kerjasama Yayasan Farley bakal mengadakan program Kanak-kanak Juara Keselamatan Kebakaran-Keselamatan dan Amaran.

Pengarah JBPM Sarawak Datuk Khirudin Drahman berkata, program berkenaan akan menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa perantara.

“Program ini menyasarkan semua sekolah jenis kebangsaan cina di Sarawak untuk terlibat dan turut serta.

“Pihak bomba juga akan dibantu menerusi kerjasama Majlis Pencegahan Kebakaran Malaysia yang mana ahlinya merupakan jurulatih pakar berdaftar untuk mengikuti program memandangkan Ketua Jurulatihnya, Lim Kim Leng sangat berpengalaman luas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pelancaran program tersebut di Yayasan Farley Kuching Batu 6, di sini, hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata penyertaan program adalah terbuka kepada mana-mana institusi khususnya sekolah jenis kebangsaan Cina dan setakat ini dua buah sekolah Cina di Kuching akan memulakan program terbabit.

Tambah Khirudin, usaha sama ini bagi memastikan komuniti cina juga tidak ketinggalan untuk diberi pendedahan mengenai langkah pencegahan awal kebakaran di Sarawak.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Majlis Pencegahan Kebakaran Malaysia, Lim Kim Leng menzahirkan penghargaan kepada pihak JBPMS dan Yayasan Farley atas inisiatif penganjuran program.

Jelasnya, ia sedikit sebanyak mendedahkan betapa pentingnya ilmu pengetahuan awal pencegahan kebakaran kepada kanak-kanak khususnya kepada komuniti cina.

Ujarnya, usaha tersebut juga akan meningkatkan lagi pengetahuan komuniti Cina di Sarawak tentang bagaimana pencegahan kebakaran boleh dilaksanakan menerusi bahasa pengantar yang lebih jelas dan mudah difahami.

Hadir sama, Presiden Yayasan Farley Eijing Lau.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru