Saturday, October 1, 2022

Pertama di Asia Tenggara

Secara Rawak

BORNEO Trail Classic (BTC) yang diadakan julung kalinya di Redeems Centre, Bau bakal menjadi yang pertama di Asia Tenggara kata Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan itu berkata program yang diadakan ini juga dapat memberi galakan kepada masyarakat untuk terlibat dalam aktiviti sihat seumpama ini.

Beliau yang juga merangkap Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan itu turut memberitahu aktiviti sedemikian juga diyakini dapat merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri ini.

“Penglibatan masyarakat pada program ini bukan terhad kepada masyarakat tempatan sahaja, tetapi juga melibatkan peserta dari luar negara.

“Program menyasarkan 2,000 orang peserta dan setakat ini seramai 1,000 orang peserta sudah mendaftar untuk menyertai program yang akan berlangsung pada 15 sehingga 16 Oktober ini.

“Daripada jumlah peserta yang mendaftar, sebanyak 14 buah negara terlibat dan ia sudah tentu memberi kesan positif terhadap industri berkaitan, sekali gus menonjolkan lagi Sarawak di peta dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Borneo Spartan Trail Classic 2022 di Bilik Mesyuarat Mulu, Tingkat 17 Bangunan Baitulmakmur 2, di sini, semalam.

Jelasnya, 14 buah negara yang terlibat ialah Malaysia, Brunei Darusalam, Indonesia, Singapura, Filipina, Thailand, Vietnam, Australia, New Zealand, Maldives United Kingdom, Spain, Argentina dan Amerika Syarikat.

Mengulas lanjut, peserta yang ingin ikut serta dalam program tersebut boleh menyertai lima kategori berbeza iaitu 7 kilometer, 10km, 21km, 50km (Trail Run Championship) dan 100km (Trail Ultra Championship).

Manakala, kanak-kanak berumur 5 sehingga 14 tahun juga boleh turut serta dalam kategori Kids Fun Run melibatkan perjalanan sejauh 1km dan 3km.

Dalam pada itu, lima peserta pertama yang berjaya menamatkan larian bagi kategori 50km dan 100km, lelaki dan wanita akan menerima hadiah wang tunai sehingga RM2,500.

Maklumat lanjut bagi penyertaan larian Borneo Spartan Trail Classic ini boleh diperoleh dari laman sesawang borneotrailclassic.com.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru