Sunday, October 2, 2022

Makmal kaji tidur macam hotel

Secara Rawak

KUCHING: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) akan menempatkan sebuah makmal berkonsepkan hotel di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan untuk menjalankan diagnosis klinikal, penyelidikan dan pendidikan mengenai masalah gangguan tidur.

Perkara tersebut direalisasikan dengan pemeteraian perjanjian Memorandum Persefahaman (MOU) Unimas dengan Philips (Malaysia), kelmarin.

Unimas dalam kenyataan berkata, makmal tersebut akan menjalankan kajian tidur tahap satu pertama dengan ‘konsep hotel’ di Malaysia.

Pembukaan makmal itu juga menandakan pelancaran makmal industri akademik, tempat untuk amalan klinikal, pembelajaran dan penyelidikan yang memberi manfaat kepada ahli akademik, peserta industri dan pelajar.

“Sehingga kini, dengan sokongan Philips (Malaysia), 18 kajian tidur tahap satu telah dijalankan untuk masyarakat tempatan di bawah program penyelidikan berterusan yang diketuai oleh Profesor Madya Dr Chai Chee Shee, seorang doktor pernafasan dari Fakulti Perubatan dan Kesihatan Sains.

“17 daripada masyarakat yang terlibat dalam kajian didapati mengalami gangguan pernafasan tidur,” katanya dalam kenyataan, semalam. MoU itu ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Unimas, Profesor Dr. Kamarudin Kana dan Ketua Jualan Sistem Kesihatan Philips (Malaysia) Joshua Chan.

Tujuan MoU itu adalah untuk menandakan kerjasama antara Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Unimas dan Philips (Malaysia) Sdn Bhd dalam diagnosis klinikal, penyelidikan dan pendidikan mengenai gangguan tidur, khususnya Obstructive Sleep Apnea (OSA), keadaan yang berlaku bila seseorang kerap berhenti bernafas ketika tidur. OSA adalah gangguan pernafasan tidur yang paling biasa.

Di Malaysia, 10.2 juta atau 77.2 peratus orang dewasa berumur 30 hingga 69 tahun dilaporkan menghidap OSA dengan 4.5 juta atau 33.8 peratus daripada OSA ini, sekurang-kurangnya tahap keparahan sederhana yang memerlukan rawatan.

OSA boleh menyebabkan rasa mengantuk yang berlebihan pada waktu siang sehingga boleh membawa kejadian kemalangan jalan raya, kecederaan di tempat kerja dan prestasi buruk di tempat kerja atau belajar.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan sebanyak 1,305 kematian akibat kemalangan jalan raya antara 2011 dan 2021 akibat pemandu tertidur semasa memandu.

Selain itu, OSA dikaitkan dengan pelbagai penyakit tidak berjangkit seperti hipertensi, diabetes mellitus, penyakit jantung, strok, penyakit pernafasan, kanser, gangguan psikiatri, serta kematian semua sebab.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru