Monday, September 26, 2022

Kenal pasti pencari bakat

Secara Rawak

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengenal pasti, melatih dan melantik pencari bakat melibatkan semua jenis pertandingan bola sepak di seluruh pelosok negara.

FAM, menerusi kenyataan semalam,  memaklumkan menerusi platform Skim Pembangunan Bakat (TDS) Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), pencarian bakat melibatkan jurulatih serta individu yang mempunyai kebolehan tersebut.

Perkara tersebut diputuskan FAM menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan dipengerusikan oleh Datuk S. Sivasundaram.

Menurut kenyataan itu, TDS merupakan platform disediakan pihak FIFA kepada ahli gabungannya untuk membantu individu terlibat melakukan pencarian bakat dengan cara dan kaedah yang bersistematik.

Dalam pada itu, FAM mencapai kata putus meletakkan had umur bagi Piala Presiden daripada Bawah 21 Tahun (B-21) kepada B-20 manakala Piala Belia dari B-19 kepada B-18 selaras dengan kitaran had umur bagi pertandingan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Selain itu, program akar umbi bagi tahun 2023 turut akan diperkasa dengan matlamat mendapatkan keahlian emas Piagam Akar Umbi AFC yang mana FAM kini memegang keahlian perak.

“Liga SupaRimau B-12, B-14 dan B-16 akan dimainkan sehingga pusingan akhir peringkat kebangsaan (liga secara kompetitif) manakala bagi kategori B-6, B-8 dan B-10 akan lebih fokus ke arah pembangunan iaitu tanpa carta kedudukan liga kerana ia akan dijalankan secara konsep festival,” menurut kenyataan itu.

Hasil mesyuarat turut menetapkan satu jalinan kerjasama Di Stadium Nasional dengan Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) diadakan dalam penyediaan bantuan teknikal termasuk calon sesuai sebagai ketua jurulatih bagi menjalankan program berkaitan mereka.

Dalam perkembangan sama, mesyuarat turut mengesahkan jaringan gol pemain Negeri Sembilan FC, Sean Eugene Selvaraj ketika perlawanan Liga Super menentang Selangor FC pada 31 Julai lalu telah dihantar secara rasmi untuk pencalonan Anugerah Puskas FIFA 2022. – Bernama

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru