Sunday, September 25, 2022

Jurutera Feichi kagum prestasi bas hidrogen

Secara Rawak

KUCHING: Selepas lebih dua tahun bas hidrogen beroperasi di Kuching Sarawak, jurutera dari Foshan Feichi Automobile Manufacture Co. Ltd (Feichi) di China kagum dengan prestasi bas hidrogen yang kini dalam operasi percubaan oleh Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro).

Sarawak Metro berkata, Feichi syarikat pengeluar kepada tiga bas hidrogen Metro Sarawak dan jurutekniknya tidak dapat berkunjung ke Kuching untuk menjalankan kerja penyelenggaraan berjadual, disebabkan sekatan pergerakan yang dikenakan oleh Malaysia dan China.

Salah seorang wakil Feichi, Kingsley Zhou Jia Dong mengakui kerja mengagumkan dilakukan juruteknik tempatan sejak dua tahun lalu dalam memastikan bas tersebut selamat dan sesuai untuk digunakan.

“Walaupun kami tidak dapat berada di sini secara fizikal di Kuching untuk menjalankan penyelenggaraan dan servis sejak dua tahun lalu, kami semua kagum dengan prestasi bas.

“Pasukan teknikal Sarawak Metro telah melakukan kerja yang baik dalam menjaga bas kerana ketiga-tiganya berada dalam keadaan sangat baik,” katanya kelmarin.

Ujar Zhou lagi sejak dua tahun lalu pasukan juruteknik tempatan Sarawak Metro berada di bawah bimbingan berterusan Feichi, menggunakan platform digital untuk berkomunikasi setiap minggu.

Zhou juga menegaskan walaupun reka bentuk utamanya digunakan bagi keadaan jalan raya bandar yang rata dan licin, bas hidrogen Sarawak Metro mampu bergerak dengan baik pada keadaan jalan yang lebih mencabar, seperti beberapa laluan di laluan Damai Loop ke arah Damai Central.

Walaupun sekatan perjalanan yang ketat masih dikenakan di China, ketiga-tiga juruteknik berkenaan diberi kebenaran khas untuk melakukan perjalanan ke Kuching selama dua minggu mereka untuk menjalankan kerja penyelenggaraan berjadual utama pada bas hidrogen berkenaan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Lee Kim Shin turut mengucapkan terima kasih kerana membuat lawatan kerja ke Kuching berkenaan.

“Kehadiran Feichi di Kuching menunjukkan bahawa mereka bukan semata-mata di sini untuk menservis dan membaiki bas hidrogen tetapi juga menunjukkan komitmen mereka dalam memenuhi kewajipan mereka

“Oleh itu, saya percaya tanggungjawab kita untuk menimba sebanyak mungkin pengetahuan tentang bagaimana kita boleh menggabungkan kenderaan sedemikian untuk memberi manfaat kepada kehidupan seharian rakyat kita di Sarawak,” katanya

Perkhidmatan bas hidrogen ini diperkenalkan pada Januari 2020 dan operasi percubaan bertujuan mengumpul data mengenai prestasi kenderaan tersebut.

Operasi percubaan untuk perkhidmatan bas hidrogen adalah bahagian penting dalam proses penggunaan teknologi baharu seperti sel bahan api hidrogen ke arah penyahkarbonan sektor pengangkutan awam.

Kuching merupakan bandar pertama di Asia Tenggara memperkenalkan bas berkuasa sel bahan api hidrogen untuk kegunaan awam dan pengenalan bas hidrogen itu juga berperanan sebagai persediaan untuk pelaksanaan sistem pengangkutan awam pelepasan sifar masa depan Sarawak serta memajukan agenda ekonomi hidrogen.

Perkhidmatan penumpang operasi percubaan bas hidrogen kini dihentikan buat sementara waktu dari 6 Ogos hingga 21 Ogos 2022 kerana bas menjalani penyelenggaraan utama.

PERKONGSIAN ILMU…Lee bersama-sama jurutera dan juruteknik dari Feichi dan Metro Sarawak semasa lawatan ke
bengkel bas hidrogen 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru