Monday, September 26, 2022

Bola Sepak Zon Tengah Sarawak: Nangka United buru kemenangan 

Secara Rawak

KUCHING: Misi serampang dua mata cuba disasar jagoan terbilang, Nangka United tatkala turun berdepan Machan FC pada aksi separuh akhir pertama Liga Bola Sepak Zon Tengah Sarawak 2022 (Sarawak Central Zone Football League 2022) di Kompleks Sukan Kanowit petang esok.

Nangka United berusaha untuk cuba mencatat kemenangan selain memastikan kelebihan jaringan dapat diperolehi sebagai bekalan selesa bagi menghadapi aksi separuh akhir kedua yang akan berlangsung seminggu selepas ini.

Roziman Ramblie, individu yang telah mencetus gelombang kejayaan terhadap skuad Nangka United sehingga ke peringkat ini melihat ia bukan satu tugas yang mudah.

“Kita turun dengan misi mahu meraih kemenangan serta berusaha mencetak lebihan jaringan sebagai bekalan untuk aksi separuh akhir kedua nanti.

“Saya yakin, pemain dapat menggapai impian kearah itu dengan syarat mereka harus lebih proaktif dan matang dalam berdepan situasi getir,” ujar Roziman kepada Arena Suara Sarawak.

Menurut bekas pemain skuad pelapis kebangsaan itu, dia bersama rakan seangkatan, Gilbert Casidy Gawing sudah mempunyai strategi yang dianggap terbaik untuk diterjemah dengan sebaik mungkin oleh pemainnya.

“Diharap pemain akan dapat mengguna pakai dengan menterjemah strategi ini sebaik mungkin,” tambah Roziman.

Beliau turut mengakui corak permainan bala tenteranya petang esok mungkin berbeza berbanding penampilan pada beberapa aksi sebelumnya.

Hal ini kerana katanya, lawan yang bakal ditentang dibarisi ramai pemain berpengalaman luas dan pernah beraksi dalam kancah Liga Malaysia.

“Sedikit berbeza corak permainan yang akan kami tampilkan petang ini.

“Malah tektikal juga mungkin turut sama berubah, pendekatan ini perlu dilakukan kerana perlawanan petang ini ibarat aksi final,” jelas Roziman lagi.

Skuad Nangka United yang turut diperkuat beberapa bekas pemain bintang seperti Mohd. Hairol Mokhtar, Mohamad Hafiz Saperi, gandingan tiga beradik Samsu Alam Abdul Samad, Nazrul Abdul Samad dan Baharudin Abdul Samad.

Di samping bintang lincah kelahiran Mukah, Daineleffino Aiho atau lebih dikenali sebagai ‘Budak’.

Selain beberapa bekas pemain skuad Piala Presiden dan Piala Belia Sarawak. Machan pula diterajui bekas penyerang Kuching City, Paul Sambang.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru