Sunday, October 2, 2022

Urus pelancongan sendiri

Secara Rawak

KUCHING: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan mempunyai dasar sendiri dalam menguruskan pelancongan di negeri ini.

Menterinya Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, memang sebelum ini Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menggesa pihaknya untuk memberikan fokus kepada jenis pelancongan tertentu.

“Jika dilihat menerusi program yang kita laksanakan sebelum ini, promosi yang kita buat ketika ini menjurus kepada pelancongan khusus dan kategori khas.

“Ini kerana kita tidak mahu terlalu terbuka kerana kejadiran pelancong (tanpa kawalan) mungkin melibatkan mereka yang tidak bertanggungjawab. Kita mahu menjaga khazanah,” katanya.

Sehubungan itu, kata Abdul Karim segelintir daripada pelancong yang datang ke Sarawak kadang-kadang masuk ke gua melakukan perbuatan yang tidak baik.

“Ada menconteng gua, ada yang bawa batu balik dan sebagainya, perbuatan sedemikian boleh membawa kecacatan kepada khazanah kita.

“Disebabkan itu, kita mahu pelancong berkualiti baik dalam kalangan masyarakat tempatan atau luar Sarawak.

“Memang ini adalah dasar kita sejak dahulu lagi,” ujarnya.

Untuk rekod, sebelum ini Abang Johari juga memaklumkan bahawa penubuhan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan adalah sebagai usaha untuk memperkasakan industri pelancongan di Sarawak.

Katanya, beliau percaya bahawa Abdul Karim boleh menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru