Sunday, October 2, 2022

Terima kasih  kerana jelaskan isu kapal tempur pesisir

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berharap kenyataan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkenaan tiada salah guna kuasa dalam projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menjawab fitnah yang dilontarkan sejak kebelakangan ini.

Pengarah Komunikasinya, Syed Mohd Johan Rizal meluahkan kekesalan kerana kenyataan tersebut dikeluarkan setelah pelbagai tuduhan tidak benar dilemparkan.

“Terima Kasih PAC yang akhirnya tampil menjelaskan tiada salah guna kuasa mana-mana kerajaan berkenaan projek LCS dan kelewatan projek itu adalah masalah syarikat pembina kapal berkenaan.

“Jelas kenyataan PAC itu kerajaan BN tidak terlibat sebarang kesalahan guna kuasa, rasuah mahupun penyelewengan.

“Cuma dikesali kenyataan PAC itu agak lambat kerana setelah dua minggu isu itu dipolitikan dan beberapa pemimpin UMNO dimangsakan oleh musuh politik, baru PAC muncul menjelaskan fitnah.

“Fitnah telah bermaharajalela dan kebenaran tiba akhirnya juga. Tetapi kerosakan imej tetap juga telah berlaku,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Kata Ketua Penerangan Pemuda UMNO Negeri Kedah itu lagi, ini kerana pelbagai pihak yang mengambil kesempatan ke atas isu ini dengan melemparkan tuduhan tidak benar kepada pemimpin UMNO.

Katanya ini menjadi suatu yang dikesalkan kerana fitnah tersebut bukan hanya membabitkan pemimpin pembangkang malah turut dilakukan pemimpin Pas yang turut sama dalam blok kerajaan pada ketika ini.

“Ramai ahli politik yang mesti mohon maaf dan bertanggungjawab atas niat fitnah menghasut rakyat!

“Pembangkang seperti DAP, Pejuang, PKR, MUDA telah menggunakan isu LCS memainkan sentimen kononya wujud rasuah beberapa pemimpin UMNO. Dan paling dikesali Ketua Pemuda Pas yang berada bersama dalam kerajaan juga terlibat,” ujarnya.

“Kempen fitnah jahat mereka terbukti tidak benar. Mereka yang mengadu domba, membuat fitnah kononya pemimpin UMNO melakukan salah laku haris tampil mohon maaf kepada pemimpin berkenaan dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru