Sunday, October 2, 2022

Sarawak rancang tambah kawasan DUN, Parlimen

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak merancang untuk menambah jumlah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen pada masa akan datang.

Speaker DUN Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, perkara tersebut memang dalam perancangan pihaknya berdasarkan data-data dan statistik terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

“Kawasan DUN dan Parlimen mana yang patut ditambah atau berapa jumlah penambahan adalah bergantung kepada statistik dan data yang diperoleh.

“Seperti DUN Senadin dan Tupong yang mempunyai bilangan penduduk tertinggi, ia mungkin perlu dinilai dan disempadankan semula dengan menambah kawasan DUN baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Siri Jelajah Parlimen dan DUN: Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 serta Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 2021, Sarawak di sini, hari ini.

Bagaimanapun katanya, penambahan DUN atau Parlimen tersebut tidak akan dilakukan pada Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

Setakat ini Sarawak mempunyai sebanyak 82 kawasan DUN dan 31 kerusi Parlimen.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kajian semula oleh kerajaan berkenaan peruntukan Artikel 17 Perlembagaan Sarawak berkaitan Akta Antilompat Parti, katanya ia akan diselesaikan dalam masa terdekat.

“Perkara tersebut tidak perlu dibentangkan pada persidangan DUN November depan. Tarikh itu agak jauh kerana kita akan menyelesaikannya dan keputusan akan diketahui dalam masa terdekat,” tambahnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru