Sunday, October 2, 2022

Pasar tamu untuk penjaja berbilang kaum

Secara Rawak

SIBU: Sebuah pasar tamu dicadangkan dibina di Kampung Usahajaya Baru Fasa 1, Jalan Sentosa di sini untuk merancakkan lagi ekonomi penduduk setempat.

Adun Bukit Assek Chieng Jin Ek ketika ditemui media selepas mengiringi Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian ke lokasi pasar tamu yang dicadangkan itu memberitahu, beliau akan memohon Projek Rakyat daripada Kerajaan Negeri untuk pembinaan pasar tamu tersebut.

Menurut beliau, tapak pasar tamu yang dicadangkan itu ditempatkan di atas tanah seluas 1.25 ekar di kawasan Lorong Sentosa 10.

“Pemilihan lokasi ini dibuat oleh penduduknya sendiri melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Usahajaya Baru Fasa 1, Jalan Sentosa yang diketuai oleh pengerusinya Ketua Kaum Mohd Ali Serani dan jawatankuasanya.

“Jadi… saya membawa Dr Sim ke sini untuk melihat sendiri lokasi yang dicadangkan seterusnya melanjutkan permohonan Projek Rakyat ini kepada kerajaan negeri untuk diluluskan,” jelas beliau.

Chieng mengatakan sudah tiba masanya Kampung Usahajaya Baru Fasa 1 serta kawasan sekitarnya mempunyai tempat perniagaan bagi membolehkan penduduknya menjana pendapatan.

Ujarnya, pasar tamu itu nanti melibatkan penjaja-penjaja berbilang kaum khususnya penduduk di kampung tersebut.

“Pasar tamu ini akan berkonsepkan pelbagai kaum kerana kampung ini didiami oleh pelbagai kaum seperti Melayu/ Melanau, Cina dan Dayak.

“Oleh itu, ia amat sesuai untuk dibangunkan mengikut konsep tersebut,” jelasnya.

Dalam pada itu, Chieng menjelaskan bahawa pihak Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) kini sedang menjalankan kajian terperinci untuk membangunkan pasar tamu itu.

“Buat masa ini, saya tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai pasar tamu ini.

“Butirannya hanya akan didedahkan selepas peruntukan dari projek rakyat ini diluluskan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau berharap dengan adanya pasar tamu itu ia akan dapat memberikan penduduk di kampung tersebut sumber rezeki.

Menurutnya lagi, sudah menjadi hasrat dan tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan tempat berniaga kepada rakyat dalam membantu mereka menjana pendapatan.

“Saya harap penduduk kampung ini nanti akan memanfaatkan pasar tamu yang disediakan ini melalui projek rakyat yang sedang diusahakan saya. “Di samping itu lokasi yang dicadangkan ini pula amat strategik kerana ia terletak di tengah-tengah kawasan kampung selain dekat dengan penempatan-penempatan lain di kawasan Salim.

“Oleh itu saya percaya pasar tamu ini berpotensi menjadi satu lagi produk tumpuan pengunjung khususnya di Sibu,” jelas beliau.

Turut serta mengiringi Dr Sim meninjau tapak projek pasar tamu tersebut ialah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II Michael Tiang Ming Tee dan Pengerusi MPS Kaunselor Clarence Ting Ing Horh.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru