Sunday, September 25, 2022

Generasi berhemah tinggi, berakhlak mulia

Secara Rawak

BINTANGOR: Nilai patriotisme yang menjadi sebahagian daripada nilai murni, perlu dijiwai dan diamalkan sebaik mungkin supaya dapat menyumbang ke arah pembentukan generasi yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia.

Adun Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata, sambutan ulang kebangsaan, menyedarkan masyarakat Malaysia tentang semangat patriotisme dan memperingati perjuangan kemerdekaan yang dikecapi kini.

Walaupun tidak lagi dibelenggu penjajah namun katanya, masyarakat masih berhadapan dengan pelbagai cabaran yang boleh mengganggu perpaduan yang terjalin selama ini.

“Patriotisme yang sering kali dikaitkan dengan cinta akan watan, perlu menyuntik semangat atau nilai yang wajar dihayati khususnya golongan muda,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kembara Merdeka Keluarga Malaysia dan Merdeka@Komuniti Peringkat Daerah Meradong, kelmarin.

Keluarga Malaysia Teguh Bersama dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bagi tahun ini.

Pemilihan tema ini amat bertepatan bagi melambangkan Keluarga Malaysia sebagai sebuah masyarakat yang hidup harmoni dan bersatu padu dalam keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

Sehubungan itu, Kembara Merdeka Keluarga Malaysia (KMKM) secara tidak langsung dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira latar belakang agama yang dianuti, warna kulit, pangkat mahu pun darjat.

Sementara itu, Sarikei dan Meradong menjadi lokasi persinggahan ke 13, konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia (KMKM) Peringkat Negeri Sarawak selepas memulakan siri jelajahnya di Telok Melano, 10 Ogos lalu.

Ia menjadikan persinggahan rombongan konvoi itu berbaki 24 lokasi lagi sebelum berakhir di Betong pada 31 Ogos depan.

Program Merdeka @ Komuniti merupakan acara tahunan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) yang memberi tumpuan kepada komuniti setempat dalam usaha untuk menyemarakkan sambutan bulan kebangsaan.

Wakil Pengarah JAPEN Sarawak, Norehan Kipli berkata, setakat ini, kembara berjalan lancar tanpa insiden yang tidak diingini dan berharap perjalanan dipermudahkan sehingga pengembaraan selesai tidak lama lagi.

“Kita juga mendapat sambutan baik komuniti setempat termasuk pelajar sekolah.

Pada masa yang sama, Jalur Gemilang melambangkan kesetiaan dan kesatuan sebagai rakyat malaysia.

“Oleh itu, marilah kita bersama-sama menyemarakkan lagi kibaran Jalur Gemilang dengan memasang bendera di rumah, di premis pejabat dan bangunan perniagaan,” tambahnya.

Hadir sama Pegawai Daerah Meradong, Baijuri Bidin.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru