Sunday, September 25, 2022

Bersyair 60 jam tanpa henti

Secara Rawak

SARATOK: Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Saratok tahun ini disifatkan istimewa apabila dianggarkan 700 warga pendidikan bergabung untuk bersyair selama 60 jam tanpa henti bagi melakar nama dalam Malaysia Book of Records.

Pegawai Pendidikan Daerah Saratok Anis Madeli memberitahu, program dirancang bermula 18 hingga 21 Ogos di Dewan Sri Semerbak Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahasa Malaysia ini melibatkan sekolah rendah dan menengah serta pejabat pendidikan sendiri dan Majlis Pengetua dan Guru Besar (MPGB).

“Insya-Allah program dendangan syair selama 60 jam tanpa henti itu nanti akan melibatkan penyertaan kirakira 700 warga pendidikan dari sekolah rendah iaitu melibatkan zon Kabong, Roban, Saratok dan zon Krian.

“Selain semua sekolah menengah seperti Kolej Tingkatan Enam Saratok, SMK Kabong, SMK Kalaka, SMK Agama Saratok, SMK Saratok, SMK Bahasa Malaysia Saratok, termasuk MPGB dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Saratok yang akan menutup program.

“Hasrat dan niat ini untuk menjadikan sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Saratok 2022 satu sambutan yang istimewa untuk dikenang.

“Seterusnya melakar nama PPD Saratok dalam Malaysia Book of Records,” katanya kepada Suara Sarawak, kelmarin.

Jelasnya, keberanian ini membuktikan warga pendidikan di luar bandar juga berpeluang memecah rekod negara.

“Ia bersesuaian dengan matlamat untuk memecah rekod melalui bidang bahasa dan seterusnya membuka mata masyarakat bahawa anak bangsa di luar bandar juga mampu melakar nama.

“Saya menaruh harapan besar kepada seluruh warga pendidikan di daerah Saratok untuk bersama-sama memberikan komitmen tinggi demi merealisasikan program bersyair selama 60 jam tanpa henti PPD Saratok kali ini,” ujarnya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Adun Kalaka Mohamad Duri yang menyokong kuat hasrat PPD Saratok kali ini.

Berdasarkan perancangan awal, aktiviti bersyair selama 60 jam tanpa henti kali ini akan bermula jam 10 malam Khamis dan dijangka berakhir pada 10 pagi Isnin depan.

Kata Anis, antara objektif utama penganjuran adalah meraikan kepelbagaian bahasa dan jenis syair untuk diangkat sebagai medium pendidikan, seterusnya memartabatkan bahasa jiwa bangsa dalam Malaysia Book of Records.

Antara lain tambahnya, menarik minat pelajar mendekati antropologi yang bersifat syair kerana dirasakan semakin pudar dimamah zaman yang penuh canggih.

Dalam masa yang sama mengangkat peranan guru bahasa di Daerah Saratok sebagai perantara dalam memperjuangkan bahasa dan bidang linguistik.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru